suria

Pulau Pinang Benam PDRM

Pemain Pahang Patrick Dos Santos Crus (kanan) bersaing dengan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Faqih Ikhwan Mohd Fauzi pada Perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur malam Ahad. - Bernama

KUALA LUMPUR: Juara Piala FA 2002, Pulau Pinang bangkit daripada kekalahan dalam saingan Liga Premier minggu lalu, untuk menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 pada perlawanan pusingan kedua Piala FA 2018 di Stadium Shah Alam malam Ahad.

Di sebalik krisis kewangan melanda Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), barisan anak buah Zainal Abidin Hassan itu seakan melupakan sejenak masalah itu untuk mencatat kemenangan berharga sekali gus melayakkan mereka mara ke pusingan ketiga.

Tiga gol skuad Harimau Kumbang terhasil pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan penyerang import dari Denmark, Ken Ilso Larson pada minit kelapan dan ke-34 sementara Kang Seung Jo turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-9, manakala jaringan sagu hati The Cops melalui Sim Woon-Sub pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan tuan rumah, Melaka menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berpesta gol membenam pasukan beraksi di Liga Sosial, Southern FC 7-0.

Gol skuad Hang Tuah dijaringkan Yahor Zubovich pada minit ke-11 dan 26, R. Gopinathan (minit ke-24), Mohd Fauzi Roslan (minit ke-34), Farderin Kadir (minit ke-44), Mohd Azmi Muslim (minit ke-53) dan Nurshamil Ghani (minit ke-75).

Sementara itu, Pahang tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Norshahrul Idlan Talaha kembali menemui sentuhan jaringan apabila menyumbat gol pertama skuad Tok Gajah pada minit ke-34, namun Mohd Rafizol Roslan berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-65 sebelum Muhammad Safuwan Baharudin muncul wira Pahang dengan jaringan kemenangan pada minit ke-75.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah, MOF FC gagal mengekang asakan Selangor apabila tunduk 0-3 dan terpaksa akur terkeluar daripada saingan Piala FA.

Anak buah P. Maniam, bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk membuka tirai jaringan menerusi Mohd Amri Yahyah sebelum Rufino Segovia menggandakan jaringan pada minit ke-82 dan Syahmi Safari menambah derita MOF FC apabila menyumbat gol ketiga skuad Gergasi Merah pada masa kecederaan babak kedua.

Dalam satu lagi aksi pusingan kedua Piala FA, Kuantan FA menepati ramalan apabila membelasah pasukan Liga Sosial, Axis-O2 FC 7-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Gol Kuantan FA dijaringkan Zarko Korac yang melakar hatrik pada minit keempat, 24 dan 59, selain jaringan Abdul Manaf Mamat (minit ke-42), Andrezinho (minit ke-49), Murilo Almeida (minit ke-74) dan Mohamad Azmi (minit ke-80).

Perlawanan antara MIFA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) pula diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat aksi 120 minit perlawanan termasuk 30 minit masa tambahan.

Namun, UKM FC lebih bernasib baik apabila memenangi penentuan sepakan penalti 4-2.

Terdahulu, gol MIFA dijaringkan Kpah Sherman pada minit ke-45 sebelum jaringan penyamaan dramatik Kipson Atuheire pada minit-minit akhir babak kedua, memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. - Bernama

Piala FA 2018

Artikel Lain