PABLO Pallares sedar dirinya dikritik penyokong Kedah berikutan kegagalannya menjaringkan gol dalam perlawanan sebelum ini. Bagaimanapun, penyerang kelahiran Sepanyol itu tidak ambil hati dengan kritikan tersebut sebaliknya berazam untuk beraksi lebih baik jika diturunkan ketika Kedah menentang Kuala Lumpur di Cheras minggu ini. Jelasnya, sebagai pemain profesional, dia perlu berdepan kritikan dan menjadikan ia sebagai dorongan untuk menjadi penyerang lebih baik untuk skuad hijau kuning. "Saya tahu ramai penyokong tidak puas hati dengan aksi saya sebelum ini, tapi saya tidak ambil hati dengan tindakan mereka kerana ini cabaran kami sebagai pemain. "Untuk itu saya berazam beraksi dengan lebih baik jika diberi peluang oleh ketua jurulatih, Ramon Marcote dalam perlawanan minggu ini. "Saya mahu membuktikan kemampuan yang ada dan membalas kepercayaan serta tanggunggjawab yang diberikan sebagai penyerang pasukan Kedah. "Semasa direhatkan ketika perlawanan Piala FA menentang Negeri Sembilan, saya memang tidak senang duduk melihat rakan-rakan berjuang di atas padang. "Oleh itu dalam perlawanan kali ini saya mahu memastikan kita pulang dengan tiga mata dan tidak mengecewakan harapan penyokong kita," katanya kepada mStar Online. Pallares berkata, dia juga tidak sabar lagi menantikan perlawanan menentang Kuala Lumpur kerana telah pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum ini. "Ikutkan hati saya mahu bermain dalam setiap perlawanan untuk membantu Kedah, tapi perancangan dan strategi jurulatih untuk pasukan lebih penting. "Oleh itu, jika saya diturunkan kembali, saya mahu melakukan sesuatu yang dapat memberi kelebihan buat Kedah yang merupakan sebuah pasukan yang hebat," ujarnya.