suria

Jun Hoong-Pandelela Raih Perak Di Beijing

Pandelela (kiri) dan Jun Hoong memegang pingat perak kejohanan Siri Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2018 di Beijing, Jumaat. Foto The Star

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong memulakan musim 2018 dengan langkah kanan apabila meraih pingat perak pada kejohanan Siri Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2018 di Beijing, Jumaat.

Pasangan penerjun negara itu mengumpul 312 mata untuk memenangi pingat perak acara 10m platform berirama wanita di National Aquatics Center-Water Cube, demikian menurut laman sesawang rasmi FINA, www.fina.org.

Gandingan tuan rumah Zhang Jiaqi/Zhang Minjie meraih pingat emas setelah mengumpul 368 mata, manakala pasangan Taneka  Kovchenko/Melissa Wu dari Australia memenangi gangsa dengan 299 mata pada pusingan pertama Siri Dunia itu.

Sementara itu dalam saingan akhir acara 3m papan anjal berirama wanita, Leong Mun Yee/Nur Dhabitah Sabri sekadar menduduki tempat kelima setelah mengutip 283 mata.

Tuan rumah China meneruskan penguasaan pada kejohanan itu apabila pasangan Chen Yiwen/ Wang Han memenangi pingat emas dengan mengutip 336 mata, manakala Anabelle Smith/Esther Qin dari Australia (298 mata) dan gandingan Kanada Jennifer Abel/Melissa Citrini-Beaulieu (293 mata), masing-masing meraih perak dan gangsa.

Nur Dhabitah akan beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita pada Sabtu. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain