suria

Pengadil Beri Kemenangan, Henti Perlawanan Selepas Pemilik Kelab Bawa Pistol Masuk Padang

-foto AP

PERLAWANAN antara PAOK dengan AEK Athens akhirnya berakhir dengan 1-0 selepas presiden kelab menceroboh padang dan membawa senjata.

Fernando Valera telah menjaringkan gol untuk PAOK pada minit ke-90 sebelum pengadil Giorgos Kominis memutuskan ia offside sehingga mencetuskan kekecohan besar-besaran.

Presiden PAOK Ivan Savvidis yang dikhabarkan sebagai salah seorang lelaki terkaya di Rusia dan kawan rapat kepada presiden Vladimir Putin masuk ke padang untuk menyertai huru-hara itu.

Turut disertai oleh sekumpulan lelaki sebagai pengawal peribadinya, Savvidis masuk ke padang sebanyak dua kali, kali kedua tanpa jaket yang jelas menunjukkan terdapat sepucuk revolver dalam sarung di pinggangnya.

-foto AP

Menurut laporan di Greece, Savvidis telah menyerang pegawai AEK, Vasilis Dimitriadis dan memberitahu pengadil 'matilah kamu'.

Peminat menunggu di Stadium Toumba, menunggu perlawanan dimulakan semula setelah laporan awal menyatakan permainan telah digantung dengan keputusan 0-0.

Mereka yang melakukan serangan akhirnya dikeluarkan dari padang dan penyokong diberitahu untuk pulang.

-foto AP

Walau bagaimanapun selepas dua jam, pengadil perlawanan, Kominis mengesahkan gol Valera sekali gus memberikan kemenangan 1-0 kepada PAOK.

PAOK mengumumkan berita itu di media sosial, menulis: "Permainan berakhir dengan skor 1-0."

AEK Athens juga menyokong berita itu di laman web rasmi mereka, walaupun jelas mereka marah dengan keputusan tersebut.

Satu laporan di laman web itu menulis: "Perlawanan itu terganggu apabila pengadil Kominis tidak mengesahkan jaringan gol Varela, seperti yang ditegaskan pembantu (Kostas) Pontikis.

"Ia diikuti pencerobohan dalam padang oleh Ivan Savvidi dengan pengawal peribadinya.

"Selepas kira-kira dua jam dan selepas pengadil terus mengubah keputusan sama ada mahu mengesahkan gol atau tidak, dia menyimpulkan bahawa gol itu diambil kira dan memutuskan untuk menghentikan perlawanan."

Pasukan PAOK mendapat dua mata, meletakkan mereka dua mata dari pemimpin Liga Super Greece AEK dengan lima baki perlawanan. -TheSunUK

PAOK, AEK Athens

Artikel Lain