LANGKAWI: Majlis pengenalan 22 pasukan yang bertanding pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 berlangsung penuh meriah di Dataran Lang, Kuah, di sini, Jumaat malam. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohammad. Acara itu turut diserikan dengan persembahan daripada unit kebudayaan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). Sejumlah 132 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus jelajah profesional dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang akan meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia. LTdL 2018 akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9km; diikuti laluan Gerik- Kota Bharu (208.3km); Kota Bharu-Kuala Terengganu (166km); Dungun-Pekan (177.6km); Bentong-Cameron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata; Tapah-Tanjung Malim (108.5km); Nilai-Muar (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km). - Bernama