KUALA LUMPUR: Finalis 2017, Pahang berjaya membalas dendam terhadap juara bertahan, Kedah selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0, sekali gus mara ke pusingan suku akhir Piala FA. Pada aksi pusingan ketiga di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, jaringan tunggal pemain import dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-45, membantu skuad kendalian Dollah Salleh melangkah ke peringkat lapan terakhir. Ia pasti menjadi satu kemenangan manis kepada skuad Tok Gajah, selepas tewas 3-2 kepada skuad Hijau Kuning pada perlawanan akhir edisi 2017 di Stadium Shah Alam. Sementara itu, jaringan hatrik pemain prolifik muda negara, Safawi Rasid pada minit ke-11, 41 dan 72 membantu juara edisi 2016, Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke suku akhir dengan menewaskan UiTM FC 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam. Pasukan universiti itu pula merapatkan jurang menerusi pemain import dari Argentina, Lucas Ramon pada masa kecederaan babak pertama dan Faiz Mohd Bandong pada minit terakhir perlawanan. Di Stadium Shah Alam, PKNS FC menggunakan peluang beraksi di laman sendiri dengan baik untuk membelasah Kelantan 4-1. Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal membuka jaringan menerusi sepakan penalti oleh pemain import dari Columbia, Romel Oswaldo Morales pada minit ke-15, sebelum Mahali Jasuli (min 43), Mohd Safee Mohd Sali (min 60) dan Rafael Ramazotti (min 65) menambahkan keperitan pasukan pelawat. Jaringan sagu hati skuad ‘The Red Warriors' dijaringkan oleh pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar yang melengkapkan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua, selepas bola terkena tangan pemain pertahanan PKNS FC. Turut melangkah ke suku akhir ialah Perak yang membenam Pulau Pinang 3-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan.Pemain import dari Brazil, Wander Luiz Bitencourt Junior menjadi wira pasukan skuad ‘Bos Gaurus' apabila menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-18 dan 78. Rakan senegaranya, Gilmar Jose Da Silva Filho turut meraih jaringan pada minit ke-75 bagi skuad Semut Merah itu, manakala Pulau Pinang merapatkan jurang menerusi pemain import dari Nigeria, Ugochukwu Ukah pada minit ke-89. Beraksi dengan 10 pemain tidak menghalang Kuala Lumpur untuk mara ke suku akhir dengan menewaskan Melaka United 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa tambahan. Terdahulu, pasukan tuan rumah membuka jaringan seawa lminit ketiga menerusi penyerang import dariBelarus, YahorZubovich, sebelumskuad‘The City Boys' menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Brazil, Guilhermede Paula Lucrecio pada minitke-31. Pemain pertahanan Kuala Lumpur dariUzbekistan, Bobirjon Akbarov dilayangkan kad merah olehpengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan setelah mendapat kad kuning kedua pada minitke-63 kerana membantah keputusan pengadil. Sementara itu, tiga lagi pasukan melangkah ke saingan suku akhir iaitu PKNP FC yang membenam Kuantan 3-0, Felda United FC mengatasi UKM FC 2-1 serta Selangor menewaskan Terengganu FC 3-1.Undian bagi pusingan suku akhir secara aksi timbal balik, dijangka dibuat Selasa ini.- Bernama