PETALING JAYA: Jurulatih Ramon Marcote bukan direhatkan, sebaliknya Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) memberi peranan baharu kepadanya. Prestasi jurulatih kelahiran Sepanyol itu menjadi bulan sejak akhir-akhir ini berikutan kekalahan pasukan dalam beberapa perlawanan penting termasuk terlepas peluang merebut trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini. Harapan yang disandarkan oleh semua penyokong setia Lang Merah tidak kesampaian apabila melihat keputusan tidak menyebelahi Marcote setakat ini. Berikutan situasi itu, KFA telah mengambil keputusan tersebut selepas mengadakan beberapa rundingan. "Pihak pengurusan tertinggi melakukan beberapa perubahan dalam sistem kejurulatihan skuad Hijau Kuning dengan melantik Ramon Marcote sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA. "Ia bagi memantau projek pembangunan sedia ada dan merangka persediaan skuad hijau kuning bagi jangka masa panjang melalui peranan baharu beliau dalam KFA. "Jawatan ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah akan dipangku oleh Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusof buat masa ini. "Keputusan ini diambil memandangkan pihak pengurusan mendapat maklum balas teknikal daripada semua pihak mengenai kelebihan pengalaman dan tahap kelulusannya dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan yang boleh dimanfaatkan semua pemain dan jurulatih di negeri Kedah," jelas Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus dalam satu kenyataan pada Khamis. Mohd Nidzam Adzha. Foto: KFA Menurut Yusdi, antara sasaran jangka pendek buat Marcote adalah untuk melihat kembali struktur kejurulatihan semua pasukan di bawah kendalian KFA dan merangka program-program latihan buat jurulatih bola sepak. "Di samping itu memantau perkembangan pemain-pemain bagi mencapai sasaran jangka panjang iaitu menyediakan pasukan pada musim hadapan. "Satu perbincangan telah diadakan antara Ramon Marcote dan pihak pengurusan dan peranan besar ini telah diperhalusi dan dilihat langkah terbaik bagi kedua-dua pihak untuk kemajuan bola sepak di negeri Kedah. KFA mengucapkan selamat maju jaya buat Ramon Marcote dengan tugasan barunya!." Untuk rekod, Marcote yang pernah membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan dan penolong jurulatih pada tahun 2016 kembali ke Stadium Darul Aman selepas 'suara' penyokong setia didengari oleh penaja utama pasukan ECK Sdn Bhd. Susulan daripada itu, pengarahnya Puan Sri Ginney Chew berusaha membawa balik bekas jurulatih Atletico Madrid itu selepas mengadakan rundingan bersama KFA.