suria

Piala FA: Razman waspada dengan jiran Kuala Lumpur

Razman (kanan) mahu fokus pertemuan dengan Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

PETALING JAYA: Kapten Selangor, Razman Roslan tidak mahu memandang mudah perlawanan menentang pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur menjelang perlawanan pusingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Cheras, Sabtu ini.

Perlawanan dua pasukan berjiran itu dijangka sengit dengan prestasi kedua-dua pasukan semakin baik sejak kebelakangan ini.

"Seperti mana yang kita tahu Kuala Lumpur bukan lagi seperti pasukan yang kita jumpa ketika perlawanan sebelum ini. Mereka banyak menunjukkan peningkatan dengan kehadiran Zaquan Adha Abdul Radzak musim ini.

"Kami pastinya tidak akan mengambil mudah dan fokus serta bekerja keras dalam tempoh 90 minit permainan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran but baharu Puma Future 18.1 oleh Puma Malaysia pada Khamis.

Pemain berusia 33 tahun itu memberitahu, posisi yang perlu diambil perhatian adalah benteng pertahanan lawan.

"Kami akan cuba elak daripada melakukan kesilapan mudah dan tidak boleh mengambil mudah terhadap pertahanan lawan.

"Saya yakin, semua prestasi rakan sepasukan semakin baik dengan sokongan serta motivasi jurulatih Nazliazmi. Lagipun 'coach' sudah kenal dengan pemain walaupun dia baharu dilantik sebagai ketua jurulatih.

"Tidak banyak yang berubah. Kita satukan semua dan buktikan di atas padang nanti," jelas Razman.

Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir dipilih oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) 3 April lalu sebagai ketua jurulatih Selangor bagi menggantikan P Maniam yang direhatkan pada 14 Mac lepas.

Aksi timbal balik suku akhir akan berlangsung pada 21 April ini juga di Stadium Cheras Kuala Lumpur.

Razman Roslan, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain