GOLD COAST: Skuad hoki lelaki negara bangkit merebut tiga mata pertama apabila menang 3-0 keatas Wales dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia. Ternyata kekalahan pada aksi pembukaan kepada England tidak mematahkan semangat skuad bimbingan jurulatih Stephen Van Huizen untuk menjaringkan tiga gol di Gold Coast Hockey Stadium. Pasukan negara diceriakan dengan gol pertama milik Fitri Saari melalui pukulan penalti stroke pada minit ke-19. Malaysia yang mula diberikan harapan dengan gol pertama itu, terus mempamerkan aksi cemerlang apabila Joel Van Huizen yang seterusnya menggandakan jaringan Malaysia pada minit ke-36 melalui pukulan sudut penalti. Tersentak dengan prestasi pasukan negara, Wales cuba bangkit, namun gagal mengawal pergerakan penyerang hoki negara, Faizal Saari yang meledakkan gol pihak lawan pada minit ke-55 melalui pukulan padang. Pada perlawanan pertama Jumaat, Malaysia kalah 7-0 kepada England. Malaysia yang berada di kedudukan ke-12 dunia akan bertemu pasukan keenam dunia, India dan Pakistan (no. 13 dunia) pada 10 dan 11 April ini. - Bernama