suria

The Speedy Jantan gagal lepasi saringan

GOLD COAST: ‘False Start' pada saringan kesembilan acara 100m lelaki ternyata mengganggu momentum sekali gus merencatkan prestasi jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan di Sukan Komanwel 2018 di sini pada Ahad.

Pelari berusia 19 tahun itu mencatatkan  masa 10.50s untuk berada di tempat keempat saringan kesembilan pusingan pertama di Carrara Sports and Leisure Centre.

“Mungkin saya agak hilang fokus sikit lepas nampak orang sebelah lebih laju dan memintas saya.  

“Lagi pun masa cubaan pertama sebelum ‘false start' saya sudah bersedia tapi disebabkan kejadian itu saya terganggu dan hilang fokus. Bila masuk cubaan kedua, saya masih terkesan dan terus tidak fokus,” katanya.  

Masa yang dicatat Khairul Hafiz itu jauh tersasar dari rekod peribadi yang juga merupakan rekod kebangsaan iaitu 10.18 yang dilakukan di Sukan Malaysia (Sukma) 2016 serta catatan masa tahunannya iaitu 10.24s.

Hanya dua terbaik daripada setiap saringan dan enam pelari terpantas keseluruhan layak mara ke pusingan separuh akhir, petang Ahad.  

Peluang beraksi buat pertama kali di Sukan Komanwel merupakan satu pengalaman yang akan membuatkan beliau lebih matang dan berdaya saing di masa hadapan.

Khairul Hafiz, yang juga dikenali sebagai ‘The Speedy Jantan'  akan menggalas  cabaran negara dalam acara 4x100m, Jumaat ini.

Selain Khairul Hafiz, skuad 4x100m negara dibarisi Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Rayzam Shah Wan Sofian. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain