KUALA LUMPUR: Sarawak melonjak ke tangga kedua liga setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas MIFA FC pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Isnin. Bobby Gonzales muncul wira skuad Bujang Senang apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-41 sudah cukup untuk anak buah Ian Andrew Gillian mengutip tiga mata penuh. Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang pada awal babak pertama dengan saling berbalas serangan namun gagal menjaringkan sebarang gol. Bersambung babak kedua perlawanan, The Indian cuba mendapatkan jaringan penyamaan namun benteng pertahanan Sarawak kebal menghalang setiap serangan dilancarkan dan tiada jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan untuk tuan rumah mencatat kemenangan mutlak di Kuching. Pada satu lagi aksi Liga Premier, Felcra FC mengekalkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan apabila menewaskan UKM FC 2-1 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, malam ini. Gol pertama perlawanan hadir selepas penyerang import Felcra FC, Anselmo Da Silva menanduk kencang hantaran rakan sepasukannya, Endrick Parafita pada minit ke-40 untuk meletakkan The Rivals mendahului 1-0 pada masa rehat. Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan kembali memperkemaskan permainan dan saling menyerang ke kubu lawan masing-masing. UKM FC memperoleh gol penyamaan pada minit ke-54 apabila pemain importnya, Sein Nam menanduk masuk bola dari luar kotak penalti susulan sepakan sudut yang gagal dikeluarkan dengan kemas oleh pertahanan Felcra FC. Tersentak dengan jaringan itu, Felcra FC menggandakan asakan dan Anselmo nyaris menambah jaringan apabila berada di kedudukan satu lawan satu dengan penjaga gol UKM FC, tetapi sepakannya mudah dibaca dan ditepis Mohamad Khari Hassan. Gol kemenangan Felcra FC hadir menerusi Anselmo yang melompat tinggi menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-74.-Bernama