suria

Sukan Komanwel: Afiq teruja raih gangsa

Muhamad Afiq (kanan) meraih gangsa dalam acara pecut 100m TT12.

GOLD COAST: Pelari pecut para negara, Muhamad  Afiq Mohamad Ali Hanafiah berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara final 100m TT12 pada Sukan Komanwel 2018 di Stadium Carrara, Khamis.

Pada penampilan sulung pada temasya itu, atlet berusia 23 tahun itu mencatatkan masa 11.28 saat, hanya 0.01 saat di belakang pemenang pingat perak, Hilton Lanegnhoven dari Afrika Selatan.

Acara tersebut (masalah penglihatan) dimenangi oleh seorang lagi pelari Afrika Selatan,, Ndodomzi Ntutu, dengan catatan 11.02s. Pencapaian pingat gangsa Muhamad Afiq adalah sumbangan pertama untuk kontinjen negara dalam acara padang dan balapan dengan pingat sukan para diiktiraf dalam carta pungutan pingat temasya sukan itu.

Lebih manis lagi, pada aksi saringan pagi tadi, Muhamad Afiq berjaya memadamkan rekod kebangsaan milik Faizal Aidil Suhaimi iaitu 11.27s dengan catatan masa 11.20s.

Muhamad Afiq, yang berasal dari Johor itu, berkata tidak pernah terlintas difikirannya akan memenangi pingat di Sukan Komanwel.

“Terus-terang saya katakan, saya hanya sasarkan tempat di final. Tidak pernah saya fikir mengenai pingat kerana saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri saya sehingga boleh memberi kesan kepada prestasi.

“Hari ini saya mendapat kegembiraan berganda apabila pada awalnya pecah rekod kebangsaan dan kemudiaannya menang pingat, kegembiraan yang tidak dapat digambarkan,” katanya selepas tamat larian itu.

Sementara itu, seorang lagi atlet olahraga negara, Iskandar Alwi gagal meraih sebarang pingat dalam acara lompat bergalah apabila sekadar membuat lompatan setinggi 5m selepas gagal tiga kali percubaan pada ketinggian 5.35m.-Bernama

Sukan Komanwel, 100m TT12

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain