suria

Hakimi langkah ke final lompat kijang

GOLD COAST: Atlet olahraga negara, Muhammad Hakimi Ismail mencatatkan lompatan sejauh 16.36m pada pusingan saringan lompat kijang untuk mara ke final acara itu di Sukan Komanwel Gold Coast.

Pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre, raja lompat kijang Asia Tenggara itu bagaimanapun tidak menampilkan prestasi terbaiknya apabila masih jauh dengan catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan miliknya iaitu 16.77m pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Catatan itu meletakkannya sebagai atlet keempat daripada 12 peserta terbaik, sekali gus melayakkannya ke pentas final pada Sabtu.

"Segalanya berjalan dengan baik dan saya berpuas hati dengan lompatan yang dilakukan hari ini. Misi saya hari ini sudah selesai (ke final), namun kena bersedia untuk final.

"Saya akan memberikan aksi sebaik mungkin pada final nanti, namun sekarang saya perlu rehat secukupnya dan lakukan proses pemulihan agar dapat mencapai tahap maksimum," katanya selepas tamat perlawanan.

Hakimi yang juga pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel berhasrat untuk memperbaharui rekod kebangsaan 16.77m miliknya itu.

Beliau membuat tiga percubaan lompatan iaitu 16.18m dan 16.21m sebelum lompatan yang melayakkannya ke final iaitu 16.36m.

Sementara itu, nasib berbeza dialami jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin apabila gagal melangkah ke pentas final hari ini selepas ketiga-tiga percubaannya batal sewaktu peringkat kelayakan pada Rabu.-- Bernama

Hakimi, lompat kijang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain