JOSE Mourinho perlu menggugurkan Paul Pogba dan Alexis Sanchez ketika bertemu Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir Piala FA, tengah malam Ahad ini, kata Gary Neville. Terdahulu, pengendali Manchester United itu mendedahkan dia bersedia melakukan perubahan pada pasukan susulan kekalahan di tangan West Brom pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam Ahad. Pada pertemuan itu United tewas 0-1 kepada pasukan yang menduduki tangga tercorot liga itu. Menurut laporan media, Pogba dan Sanchez antara pemain yang tidak akan diturunkan Mourinho pada aksi penting Ahad ini. Malah Neville menerusi Twitternya turut menyokong tindakan tersebut. "Bagus," tulisnya. Menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataan itu, Neville berkata empat pemain lain layak dipertimbangkan untuk mengisi posisi kedua-dua pemain tersebut. "Anda lihat prestasi mereka baru-baru ini! Jika mereka diturunkan harap mereka dapat bermain dengan bagus tetapi anda tidak boleh meragui kebolehan Marcus Rashford, Anthony Martial, Juan Mata dan Jesse Lingard," katanya.