suria

Keputusan di tangan Fajer

Apek kini dalam radar KLFA.

PETALING JAYA: Keputusan sama ada untuk mengekalkan atau melepaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terletak di tangan ketua jurulatih, Fajer Ebrahim.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Fajer untuk menentukan kedudukan penjaga gol berusia 29 tahun itu.

"Dia masih ada kontrak bersama Kelantan. Saya tak boleh komen (keputusan) sebab bergantung kepada jurulatih," katanya kepada mStar Online.

Meskipun timbul khabar angin Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek kini diintai Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Bibi berkata, setakat ini, penjaga gol itu masih belum menghubungi Kafa mengenai hasrat untuk meninggalkan Kelantan.

"Kita hanya dengar mereka (KLFA) berminat untuk mendapatkan khidmat Apek tapi kita tak dengar sendiri dari mulut dia (Apek) mengenai khabar angin itu," kata Bibi.

Usahawan batik itu turut bersikap terbuka seandainya Apek membuat keputusan untuk menyertai kelab lain.

"Kita sedia beri peluang kepada dia untuk berhijrah andai itu permintaannya dan jika tindakan tersebut boleh membantu mengurangkan beban ditanggung Kafa," katanya.

Bibi mengakui, Kafa terpaksa melakukan beberapa rombakan pemain selepas mengambil kira status kewangan pasukan bagi memastikan Kelantan terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Kita masih ada banyak tunggakkan yang perlu dibayar terutama kes Fifa. Duit tajaan memang tak cukup oleh itu kita lakukan rombakan pemain dengan nasihat ketua jurulatih.

"Jadi harapan kita sekarang adalah untuk tidak membebankan pemain dan berterus-terang dengan mereka mengenai kedudukan kewangan pasukan," kata pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung KLFA mendedahkan pasukan tersebut berminat untuk mendapatkan khidmat Apek pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan depan.

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, usaha membawa Apek kini masih di peringkat awal dan pemain itu juga perlu mendapat kebenaran Kafa untuk berhijrah.

"Jurulatih ada berbincang dengan kami, dia berminat apabila mendengar Khairul Fahmi teringin (datang ke sini).

"Kalau Khairul Fahmi berminat, kami tiada masalah. Tetapi, kami perlu bincang dengan Kafa sebab ia penting," kata Nokman.

Apek, Kafa, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain