KUALA LUMPUR: Pasukan Felda United mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Premier walaupun seri 1-1 menentang Felcra FC pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam Isnin. Keputusan tersebut menyaksikan skuad ‘The Fighters' melebarkan rekod tanpa kalah kepada lapan perlawanan dengan kutipan 20 mata. Pada aksi di Jengka, pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes seawal minit kedua perlawanan hasil hantaran silang Wan Zack Haikal Wan Nor. Pasukan Felcra FC, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan pemain import dari Brazil, Alselmo Arruda da Silva pada minit ke-23. Skuad UiTM FC pula melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelima liga setelah menang tipis 3-2 ke atas Sarawak pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam. Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan pemain import dari Argentina, Lucas Ramon Pugh pada minit ke-12 dan ke-32, selain Dao Bakary pada minit ke-58, manakala pemain import dari Croatia, Mateo Roskam menyumbang dua gol untuk Sarawak, masing-masing menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 dan gol padang pada minit ke-80. Tiga lagi aksi Liga Premier akan berlangsung Selasa, membabitkan pertemuan antara MIFA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya; UKM FC dan Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang serta pertemuan antara Pulau Pinang dan Terengganu FC II di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. Perlawanan antara Johor Darul Ta'zim II dan Kuantan FA yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, pada Selasa, dibatalkan.