suria

Kecoh di Anfield, penyokong Liverpool parah diserang

POLIS Merseyside menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam cubaan bunuh selepas seorang lelaki cedera teruk sebelum berlangsungnya perlawanan Liga Juara-Juara melibatkan Liverpool dan Roma di Anfield pada Selasa malam.

Pada kejadian itu, mangsa yang berusia 53 tahun diserang di luar Albert Pub, berhampiran Kop Stand, lokasi peminat berkumpul sebelum perlawanan berlangsung.

Inspektor Paul Speight berkata, pihaknya percaya mangsa berada di situ bersama abangnya untuk menyaksikan perlawanan antara Liverpool dan Roma.

"Dia dicederakan dalam kejadian pada pukul 7.35 malam berhampiran Albert Pub.

"Laporan saksi menyatakan mangsa dipukul dengan tali pinggang sebelum jatuh. Dia kemudiannya dibawa pasukan paramedik menaiki ambulans ke hospital," katanya.

Menurut Speight, mangsa berada dalam keadaan kritikal dan waris sudah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Dia turut meminta sesiapa yang berada di lokasi  kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Tempat itu dekat dengan kawasan peminat berkumpul sebelum perlawanan, kalau ada rakaman dari telefon atau sebarang informasi, sila hubungi kami untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, suspek yang berusia 25 dan 26 tahun dari Rome, telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Kelab Bola Sepak Liverpool yang terkejut dengan insiden itu turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

"Kami terkejut apabila mendapat perkhabaran peminat Liverpool berada dalam keadaan kritikal kerana diserang sebelum perlawanan.

"Kiriman doa buat mangsa dan keluarga. Kami akan menawarkan sokongan penuh buat mereka.

"Kami telah berhubung dengan pasukan keselamatan sejak insiden itu berlaku. Sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian itu, sila tampil.

Selain itu, kekecohan sebelum pertembungan suku akhir Liverpool dengan Manchester City menyaksikan bas pasukan City rosak apabila dilontar objek, menyebabkan pasukan polis tambahan diletakkan di sana menjelang perlawanan pada hari Selasa.

Penyokong membanjiri jalan-jalan sekitar dan menyambut bas Liverpool dengan kepulan asap merah.

Namun, bas pasukan Roma tidak melalui jalan sama dengan pasukan tuan rumah bagi mengelak pertembungan dengan majoriti penyokong yang sedang berkumpul.


Anfield, Liverpool

Artikel Sebelum

Artikel Lain