WALAUPUN khabar angin bahawa Mohamed Salah akan membawa pulang anugerah Ballon d'Or yang akan datang, jurulatih England, Gary Neville berkata hanya ada satu pemenang yang akan merangkul gelaran itu. Ia tidak lain dan tidak bukan, Cristiano Ronaldo. Salah sedang menikmati musim yang luar biasa di Liverpool, yang menyaksikan dia menjaringkan ledakan gol dan meletakkan kelab itu hampir pasti ke final Liga Juara-Juara. Pemain Mesir itu telah meraih 33 gol dalam Liga Perdana Inggeris; sepadan dengan rekod untuk gol terbanyak dalam 38 perlawanan. Bagi semua pertandingan pula, bekas pemain Roma itu telah menjaringkan 43 gol. Selepas menewaskan Kevin de Bruyne sebagai pemain terbaik PFA bagi musim 2017/2018, peminat mula mengaitkan Salah bakal menewaskan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bagi anugerah Ballon d'Or. Kedua-dua pemain itu berkongsi anugerah tersebut sejak Kaka memenanginya pada 2007. Bagaimanapun, Neville berkata menerusi tweet yang dimuat naik pada Khamis iaitu 'hanya ada seorang pemenang' ketika memberi reaksi tentang perbandingan antara Salah dan pesaingnya dalam merebut anugerah itu. - Metro UK