KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang menghadapi masalah kewangan untuk mengharungi Liga FAM diselamatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menjelaskan hutang serta gaji pemain. Menurut ketua jurulatih, Manja Man, Shahidan juga menanggung insurans serta perbelanjaan dan penginapan pemain yang membolehkan Perlis menentang pasukan Maiserra di Nilai, Negeri Sembilan di Nilai, Ahad lepas yang berkesudahan ‘Singa Utara' itu menang 3-0. “Sumbangan Shahidan sangat bermakna kalau tidak kami mungkin tidak dapat mengharungi perlawanan menentang Maiserra,” kata Manja kepada Bernama di sini, pada Selasa. Katanya Perlis yang akan mengharungi empat perlawanan lagi perlu menang semua perlawanan tersebut untuk disenaraikan dalam Liga Perdana tahun hadapan. “Kami amat berharap Shahidan akan terus membantu PFA sehingga tamat Liga,” kata Manja dan menambah 30 pemain pasukan itu tidak mendapat gaji sejak Februari lepas namun mereka bersemangat untuk mengharungi baki perlawanan. Manja juga berharapkan pihak-pihak yang sayangkan PFA tampil membantu menyelesaikan tunggakan gaji tiga bulan pemain dan pegawai supaya mereka dapat membuat persediaan menyambut Ramadahan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.-Bernama