suria

Penampilan Zulfahmi bersama SIC Racing berakhir

Zulfahmi Khairuddin.

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan penampilannya bersama SIC Racing Team dalam Kejuaraan Moto2 Dunia (MotoGP) berakhir serta-merta selepas persetujuan kedua-dua pihak.

Zulfahmi berkata selepas bersaing dalam empat perlumbaan musim ini, bekas pelumba Moto3 dan Kejuaraan Supersport Dunia itu, membuat keputusan sambil disokong oleh pasukan agar beliau tidak meneruskan perlumbaan dalam Kejuaraan Moto2 tersebut.

“Selepas perlumbaan terakhir di Jerez, saya dapati sangat sukar bagi saya untuk meningkatkan prestasi sejak permulaan musim. Selepas memikirkan secara mendalam dan perbincangan bersama pasukan, saya memutuskan lebih baik saya menamatkan karier dalam Moto2.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua terutama Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dan pengurus pasukan Johan Stigefelt atas kepercayaan mereka untuk memberi peluang kepada saya bersaing dalam Moto2.

"Saya meminta maaf kepada pasukan dan penaja jika keputusan ini dibuat secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini Selasa.

Zulfahmi diumumkan sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang menandatangani kontrak bersaing dengan pasukan MotoGP Monster Yamaha Tech3 pada Februari lepas.

Pada musim lepas, Zulfahmi bersaing dalam Kejuaraan Supersport Dunia mewakili pasukan Orelac Racing Verdnatura untuk dua musim sejak 2016.

Walaupun menamatkan kontraknya bersama SIC Racing Team, Zulfahmi masih terbabit dalam perlumbaan dengan peranannya kini sebagai mentor program pelapis SIC, 'Impian ke MotoGP' – sebuah program bagi mengasah bakat baharu dalam perlumbaan dua roda.

“Saya akan menumpukan tenaga dan pengalaman saya ke arah membimbing bakat-bakat muda dalam program itu kerana matlamat kita untuk mewujudkan laluan berdaya maju ke puncak perlumbaan dua roda iaitu MotoGP.

"Kepada seluruh pasukan SIC Racing, saya mengucapkan terima kasih kerana membimbing dan membantu saya sehingga ke peringkat ini,” katanya.

Sementara itu, Razlan mengucapkan terima kasih kepada Zulfahmi, sambil mengakui cabaran dalam perlumbaan kompetitif seperti Kejuaraan Moto2 Dunia.

Razlan seterusnya berkata SIC dijangka membuat pengumuman mengenai pengganti Zulfahmi pada minggu ini.

Zulfahmi Khairuddin, Moto2

Artikel Berikut

Artikel Lain