JUARA Liga Perdana, Manchester City telah memberi ganjaran kepada Pep Guardiola dengan kontrak baharu selama dua tahun selepas berjaya membimbing kelab itu memecahkan rekod kemenangan. Di samping memenangi Piala Carabao pada awal tahun ini, kelab itu menjadi pasukan pertama yang memecahkan rekod 100 mata dalam sejarah kejohanan teratas liga Inggeris. Malah, mereka mengakhiri musim dengan mengumpul jumlah mata terbanyak, jaringan terbanyak, kemenangan terbanyak dan perbezaan gol terbaik bersama dengan rekod-rekod lain. Guardiola, kekal sebagai pengurus dengan bayaran tertinggi dalam Liga Premier dengan nilai £15 juta (RM80.4 juta) setahun. Kontraknya berbaki setahun sahaja lagi sebelum disambung sehingga 2021. Ia diputuskan setelah mesyuarat terkini melibatkan pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak di Itali. "Saya gembira dan teruja. Ianya sesuatu yang menyenangkan untuk terus berkhidmat di sini. "Saya juga gembira bekerjasama dengan para pemain setiap hari dan kami akan melakukan yang terbaik untuk masa akan datang. "Sebagai pengurus, anda harus gembira dengan pemain-pemain kendalian anda. Sejujurnya, saya sangat gembira. "Kami mempunyai skuad muda dengan usia sekitar 23 tahun dan kami ingin terus maju dan mengekalkan pencapaian sedia ada," ujarnya menerusi laman web City. Guardiola juga berhasrat untuk membawa masuk Yaya Toure dalam barisan pemain tengah di kelab itu menerusi perpindahan pada musim panas ini. Setakat ini, City telah mengikat Guardiola dan penjaga gol Ederson untuk kontrak baharu pada minggu lalu.