KUALA LUMPUR: Pelumba ‘rookie' MotoGP Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih mata kejuaraan dalam Grand Prix Perancis di Le Mans, pada Ahad. Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mencatat 42 minit 24.735 saat untuk menduduki tempat ke-12 dalam perlumbaan sejauh 27 pusingan itu. Pencapaian itu menyaksikan Hafizh Syahrin memperoleh empat mata dan kini berada di kedudukan ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 13 mata. “Pada perlumbaan ini saya berasa amat baik, namun sedikit mengecewakan kerana melakukan permulaan buruk dan kemudian berada di belakang kumpulan yang perlahan dan perlu memintas mereka seorang demi seorang. “Saya tahu kelajuan jentera saya sangat bagus dan merasakan boleh berada dalam kelompok 10 terbaik, namun sukar memintas di litar ini dan kita juga perlu benar-benar berani untuk memintas di selekoh pertama. Saya sudah mencubanya banyak kali, namun akhirnya saya terlepas mengejar kumpulan di hadapan. “Pengalaman cukup bagus dan saya akan cuba belajar dan memahami untuk perlumbaan seterusnya. Saya rasa saya kembali mendapat keyakinan dan berharap dapat sekali lagi mempamerkan aksi terbaik di Mugello. Saya akan kekal fokus dan berusaha keras dengan keadaan fizikal dan tunggangan saya,” kata Hafizh Syahrin seperti dipetik dalam laman sesawang pasukan berkenaan. Pencapaian terbaik Hafizh Syahrin selepas lima pusingan kejuaraan tersebut setakat ini adalah menduduki tempat kesembilan pada perlumbaan pusingan kedua di Argentina, bulan lepas. Sementara itu seorang lagi pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia, meraih mata kejuaraan pertamanya musim ini, selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 dalam saingan Moto2. Beliau kini menduduki tempat ke-25 dalam carta kedudukan Moto2, dengan mengumpul satu mata. Dalam kategori Moto3, ia sesuatu yang mengecewakan buat pelumba Petronas Sprinta Racing Adam Norrodin apabila terkeluar daripada saingan dengan berbaki satu pusingan perlumbaan. - BERNAMA