suria

Salah tunjuk perkembangan positif

PENYOKONG Liverpool dan Mesir kini boleh menarik nafas lega apabila Mohamed Salah memuat naik gambar yang menunjukkan perkembangan positif mengenai kecederaan yang dialaminya.

Salah kini berdepan kesuntukan masa untuk memulihkan kecederaan di bahunya yang ditanggung semasa aksi final Liga Juara-Juara pada 27 Mei lalu.

Pemain berusia 25 tahun tidak dapat meneruskan permainan sehingga tamat selepas dikasari Sergio Ramos.

Akibat kecederaan itu, Salah dijangka terlepas aksi Piala Dunia di Rusia tetapi pasukan perubatan Mesir yakin dia boleh pulih dan akan diturunkan ketika bertemu Uruguay pada 15 Jun ini.

Dan Salah turut yakin boleh pulih sebelum aksi sepak mula di Rusia apabila memuatnaik gambarnya sedang gigih menjalani rawatan pemulihan di gimnasium.

"Rasa bagus," tulisnya di Twitter.

Selepas bergelut dengan kecederaan di bahu, Salah menerusi Twitternya meluahkan rasa yakin boleh kembali cergas untuk memperkuat Mesir pada aksi Piala Dunia.

"Ia malam yang sukar tetapi saya seorang pejuang.

"Namun saya yakin akan berkunjung ke Rusia untuk membuat anda bangga. Kasih sayang dan sokongan anda memberikan saya kekuatan yang diperlukan," katanya.

Mohamed Salah, Piala Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain