KUALA LUMPUR: Juara lima kali, Selangor, tidak mahu mengulangi detik cemas sewaktu peringkat suku akhir ketika bertandang ke Stadium Shah Alam bagi aksi separuh akhir kedua saingan Piala FA 2018 berdepan PKNS FC, Sabtu depan. Meskipun membawa bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 4-0 pada aksi pertama Sabtu, pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir tetap berwaspada terhadap ancaman yang mampu dijelmakan skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal. Katanya kesilapan pemain sehingga tewas 0-3 pada aksi suku akhir kedua bertemu Kuala Lumpur meskipun mencatat kemenangan selesa 3-0 dalam aksi pertama, tidak boleh diulangi pada pertemuan Sabtu nanti. “Jika dilihat, jurang tahap permainan antara Selangor dan PKNS FC tidak begitu jauh dan saya jangka separuh akhir kedua akan lebih sengit kerana kedua-dua pasukan mahu ke final. Kita juga tahu PKNS FC adalah pasukan yang baik dan dibarisi pemain berkualiti. “Jadi kita perlu bijak menggunakan peluang dan saya jangka peraturan gol di tempat lawan akan membantu Selangor mara ke final. Sudah pasti saya tidak mahu kesilapan sama berulang pada pertemuan kali ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini, Sabtu. Sementara itu, Nazliazmi mengakui fokusnya kini terpaksa dialihkan sementara terhadap persiapan pertembungan Liga Super berdepan Pahang, Selasa ini. “Memang mencabar untuk saya mempersiapkan pasukan dalam keadaan jadual aksi cukup padat seperti ini. Pahang antara pasukan teratas liga dan kita pun tak boleh membiarkan Selangor terus tercicir mata kerana kedudukan kita belum lagi selamat. “Jadi saya akan buat sedikit perubahan dalam kesebelasan pemain untuk berdepan Pahang bagi mengimbangi kekuatan pasukan dan juga memberikan tempoh rehat kepada pemain-pemain untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA,” katanya. Pada aksi berdepan PKNS FC Sabtu malam, jaringan hatrik penyerang import Rufino Segovia pada minit ke-39, 41 dan 56 diikuti gol sendiri Azmizi Azmi (minit ke-64) melengkapkan kemenangan bergaya Selangor, sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada pentas akhir Piala FA buat kali pertama sejak 2009. - BERNAMA