TAN Sri Annuar Musa membuat keputusan betul pada waktu yang salah. Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) itu, menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijadual berlangsung pada 14 Julai ini. Dengan penarikan ini, bermakna Setiausaha Agung FAM yang akan tamat tempoh khidmat pada hari yang sama, Datuk Hamidin Mohd Amin secara automatik adalah presiden baharu bagi tempoh hingga 2021. Senario ini seharusnya tidak berlaku sekiranya Annuar mengambil kira peluangnya untuk menang sangat tipis selepas Hamidin mendapat 18 pencalonan daripada ahli gabungan manakala calon Timbalan Presiden Umno itu hanya mendapat satu pencalonan. Bekas Pengerusi Mara, Annuar dicalon oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Seorang lagi calon, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang dicadangkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), awal-awal lagi menolak pencalonan. Annuar yang turut menarik diri selepas gah mencabar Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sebagai Presiden FAM tahun lalu, memberi alasan mahu tumpu sepenuhnya perebutan jawatan kedua tertinggi dalam hierarki Umno yang akan diketahui lewat malam ini selain mahu memperkasa parti jika menang. Jawatan kerusi panas itu menjadi kosong apabila TMJ melepaskan tampuk kuasa yang dimenangi tanpa bertanding menjadikan beliau pemegang jawatan presiden paling pendek dalam sejarah badan induk itu - hanya 366 hari. Tunku Ismail dilantik pada 25 Mac 2017 dan meletak jawatan pada tarikh sama setahun kemudian. Ketika melepaskan jawatan TMJ berkata:“Saya ibarat seekor harimau yang tidak patut berkhidmat untuk kambing biri-biri. Tunku Ismail Sultan Ibrahim “Harimau dan kambing biri-biri tidak boleh duduk bersama harimau. Harimau kena berkhidmat kepada harimau." Sukar untuk mentafsir kata-kata sinis ini. Ada yang berpendapat ia bermaksud, Exco FAM tak cukup ganas untuk mendesak beliau dalam membuat keputusan lantaran TMJ datang dari istana. Semuanya dilihat hanya sekadar menjadi ‘yes men’ dalam setiap keputusan yang dibuat atau mungkin ada maksud tersirat yang sukar dihurai. Sebenarnya sudah lama peminat bolasepak menanti seorang bukan ahli politik memegang jawatan presiden. Ramai berpendapat antara sebab utama merudumnya mutu sukan negara khususnya bola sepak kerana ia dipimpin oleh tokoh politik. Mereka selalunya mengguna acuan politik untuk mengurus persatuan sukan. Badan sukan juga dilihat platform terbaik untuk menonjolkan diri dalam arena politik. Sejak Merdeka, FAM tidak pernah ditadbir oleh orang biasa. Ia diurus orang politik bermula dengan Tunku Abdul Rahman pada 1958 hingga 1974 diikuti Tun Abd Razak (1974-76) dan Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976-1983). Hamzah kemudian melepaskan jawatannya atas sebab-sebab kesihatan untuk memberi laluan kepada Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang. Baginda mentadbir hingga 2014 sebelum diterajui anak baginda, Tengku Abdullah (2014-2017) yang terpaksa melepaskan jawatan selepas dikecam masyarakat bola sepak yang menyaksikan Malaysia merudum ke tangga ke-174 ranking Fifa pada Disember 2017 sebelum keadaan bertambah parah menjunam empat anak tangga lagi pada Mac 2018. Kini bola di kaki Hamidin. Menarik untuk dilihat bagaimana dia akan berdepan dengan presiden negeri-negeri yang majoritinya diketuai oleh Ketua Menteri atau Menteri Besar. Mereka selalunya mengguna pengaruh politik untuk mengisi tabung persatuan. Sekarang tanpa sebarang sentuhan politik, mampukah Hamidin mengukuh kewangan persatuan yang dianggap paling kaya di Malaysia selain membantu ahli gabungan yang sering menghadapi masalah membayar gaji pemain. Sejauh mana suaranya akan dihormati menjadi perhatian umum sebaik dia menduduki kerusi berduri itu dua minggu dari sekarang. Juga menarik untuk melihat bagaimana Hamidin akan berdepan dengan TMJ, pemilik pasukan paling kaya, JDT dalam saingan Liga Malaysia yang belum berakhir dan Piala Malaysia yang bermula ketika Piala Dunia akan memulakan peringkat kalah mati malam ini. Pertanyaan turut berlegar, adakah pihak penaja sedia memberi kerjasama seperti mana mereka hulur ketika tiga tokoh politik – dua daripadanya adalah Perdana Menteri – dan tiga golongan istana menguasai FAM? Hamidin akan berdepan saat sukar untuk melonjak ranking Malaysia yang kini menghuni tempat ke-171, dua anak tangga di bawah jiran sebelah – Singapura.