suria

Chong Wei mandi peluh sebelum mara

JAKARTA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa beraksi dalam tiga set sebelum mengetepikan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Stadium Istora Senayan di sini malam Rabu.

Juara Terbuka Malaysia 2018 itu dikerah beraksi selama 59 minit sebelum menewaskan Ng Ka Long 21-15, 18-21, 21-10.

Pada pusingan kedua hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain Denmark Anders Antonsen yang menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimoto 21-14, 25-23.

Bagi acara beregu wanita, pasangan negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menewaskan gandingan Indonesia Keshya Nurvita Hanadia 25-23, 21-13 untuk layak ke pusingan kedua.

Mereka akan bertemu pilihan pertama, Chen Qingchen-Jia Yifan dari China yang menumpaskan beregu Korea Selatan Chang Ye Na-Jung Kyung Eun 13-21, 21-17, 21-17.

Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga mudah mengalahkan pasangan Indonesia Wahyu Nayaka Arya Pangkaruanira-Ade Yusuf 21-18, 22-11 dalam tempoh 30 minit perlawanan untuk mara ke pusingan kedua.

Mereka akan berdepan beregu elit Indonesia yang juga pilihan pertama kejohanan, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada pusingan kedua.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tewas kepada rakan senegara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 19-21, 19-21 pada pusingan pertama.

Kejohanan Terbuka Indonesia bermula semalam hingga 8 Julai ini, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1.2 juta. - BERNAMA

Lee Chong Wei, Terbuka Indonesia

Artikel Sebelum

Pahang ikrar beri aksi terbaik

Artikel Berikut

Artikel Lain