PETALING JAYA: Kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelesaikan masalah dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagaikan ditolak pegawai kanan organisasi itu. Pengarah Kanan NFDP, Safirul Azli Abu Bakar tampil menafikan wujud masalah antara organisasi itu dengan FAM. "NFDP tak pernah ada masalah dengan FAM. Kalau masalah teknikal dengan individu seharusnya diselesaikan dalam FAM. "Kalau pasukan kebagsaan memang tuan dia ialah FAM, itu tak dapat dinafikan. Maksudnya FAM berhak berbincang dengan head coach (ketua jurulatih) setiap pasukan kebangsaan dan menyatakan apa yang patut dan tak patut dilakukan. Itu perkara biasa. "Tetapi secara rasminya semua bila berbincang teknikal kemungkinan adalah benda yang setuju dan tak setuju tetap bila dah ada keputusan dalam mesyuarat, memag ikutlah," ujarnya memberi maklum balas mengenai kenyataan masalah NFDP yang diutarakan TMJ dalam sidang media selepas Kongres FAM Ke-54 pada Sabtu. Menurut Safirul, dia tidak pasti secara spesifik apa yang dimaksudkan 'susah akses' NFDP seperti yang dilontarkan TMJ. "Setahu saya kita bekerjasama setiap hari dengan bahagian Teknikal Pembangunan Belia FAM dan berkongsi data selama ini. "Jadi apa-apa yang diminta memang kita kongsi selama ini dan saya sendiri ada kapasiti sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Teknikal FAM. Mungkin saya tak pasti apa yang spesifik yang disebut," katanya. Mengenai kemudahan yang tidak disediakan di setiap negeri dalam program pembangunan ini, Safirul berkata pihaknya ada menyediakan peralatan asas, seperti bola, kit pasukan dan sebagainya. "Kita bagi (peralatan asas) setiap negeri untuk tempoh dua tahun. Tetapi ada sesetengah negeri tidak sampai dua tahun ada peralatan yang sudah tidak boleh guna. "Jadi dalam jadual bekalan menunggu 'next round' bagi peralatan, negeri kena bertahan kejap," jelasnya. Semenjak NFDP ditubuhkan 2014, masalah itulah yang selalu timbul," jelasnya. Artikel berkaitan:TMJ harap Hamidin dapat selesai 'masalah' NFDP