suria

FAM belum putuskan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan

MELAKA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih  belum membuat keputusan berhubung cadangan pengambilan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan kerana perkara tersebut masih dalam peringkat kajian, kata presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar).

Beliau berkata perkara tersebut  masih berada dalam peringkat cadangan dan satu kajian akan dibuat oleh FAM terlebih dahulu bagi meneliti kesesuaiannya sebelum keputusan dibuat. 

“Mungkin saya sendiri dan timbalan presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan bertemu dengan persatuan bola sepak Cameroon dan Brazil bagi melihat cara pelaksanaanya di sana,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif FAM, di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: "FAM perlu ambil pendirian amat tegas"

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata sekiranya cadangan itu diterima, keputusaan akhir bergantung kepada kerajaan sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan tersebut.

“Saya harap pihak yang ingin melonjakkan bola sepak negara bersabar terlebih dahulu kerana perkara ini masih dalam peringkat cadangan,” katanya.

Hamidin (dua, kanan), Yusof (kiri) dan Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-5 Penggal 2017-2021pada Sabtu. - Bernama

Isu tersebut mendapat kritikan hangat  beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang meminta badan induk pentadbir sukan bola sepak negara itu memperhalusi cadangan tersebut terlebih dahulu.

Sementara itu, mengulas  mengenai persiapan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Sukan Asia 2018, Hamidin berkata  senarai nama penuh pemain hanya dapat diketahui pada Isnin ini.

“Semua pemain skuad bawah 23 tahun (B-23)  akan laporakan diri pada Isnin ini, jadi kita hanya dapat tahu siapakan yang akan menyertai Sukan Asia pada hari tersebut,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan skuad B-23 gagal mengumpul sekurang-kurangnya 18 orang pemain setelah beberapa pasukan enggan melepaskan pemain utama mereka kerana tarikh Sukan Asia bertindih  dengan jadual Piala Malaysia.   

Hamidin berkata selepas tamat kem latihan pusat, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan  berangkat ke China bagi sesi latihan persiapan sebelum ke Bandung, Indonesia pada 8 Ogos.

Kim Swee.

“Kita terpaksa batal perlawanan persahabatan dengan pasukan Arab Saudi yang dijadualkan 9 Ogos ini kerana perlu ada di Bandung pada 8 Ogos,” katanya.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan suara segelintir pemain yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri awal sebelum kem latihan pusat bermula.

Beliau berkata sasaran FAM terhadap skuad negara adalah layak ke pusingan kedua biarpun terpaksa melalui laluan sukar apabila diletakan bersama penyandang juara Asia iaitu pasukan Korea Selatan.

Dalam undian Sukan Asia 2018, Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Dalam perkembangan lain, mengulas kedudukan pemain Pahang,  Madou Sumareh dalam mendapat kerakyatan Malaysia, Hamidin berkata mengikut syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)  layak membuat pemohonan namun ia memerlukan sedikit masa.

“Kalau ikut peraturan FIFA, beliau layak namun ini adalah perkara baharu dalam bola sepak negara dan kita tidak boleh terus telan benda ini,” katanya. - Bernama

FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tabung dana khas bantu PFA

Artikel Lain