suria

Korea Selatan hancurkan impian Malaysia bawa pulang emas

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tengah) bergambar bersama skuad boling wanita negara yang memenangi pingat perak dalam acara boling berpasukan. - Bernama

PALEMBANG: Korea Selatan menghancurkan impian Malaysia untuk merangkul  pingat emas dalam acara boling berpasukan wanita dengan enam anggota, memaksa  skuad  negara  mengakhiri pertandingan di tempat kedua, di Pusat Boling Jakabaring, di sini pada Jumaat.

Skuad  negara yang terdiri daripada Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan gagal untuk mengakhiri kemarau emas selama 12 tahun dalam acara itu dan hanya mendapat perak menerusi  8,149 jatuhan pin.

Pasukan Korea Selatan diwakili Baek Sungja, Han Byul, Kim Hyun Mi, Lee Yeonji, Ryu Seoyeon dan Lee Nayoung memperoleh emas dengan kelebihan 189 mata dengan 8,338 jatuhan pin.

Chinese Taipei yang diwakili Pan Yu-Fen, Chou Chia-Chen, Tsai Hsin-Yin, Chang Yu-Hsuan, Wang Ya-Ting dan Huang Chiung-Yao membawa pulang gangsa dengan  7,969 jatuhan pin.

Terdahulu dalam blok pertama tiga permainan, Malaysia, Juara Dunia Las Vegas 2017, di kedudukan  kedua dengan 4,024  jatuhan pin, 67 mata di belakang Korea Selatan.

Mereka mampu mengurangkan jurang mata kepada 17 pin dalam permainan keempat, tetapi Korea Selatan mempamerkan kehebatan mereka apabila terus mendahului sehingga ke akhir permainan.

Malaysia hanya meraih emas sekali dalam acara berpasukan (dahulunya dianggotai lima pemain) semasa  Sukan Asia 2006 di Doha, yang mana Esther dan Shalin adalah dua pemain yang masih kekal di dalam skuad itu , sementara dalam edisi 2010 di Guangzhou, China, Malaysia hanya membawa pulang gangsa.

Pada Rabu, trio wanita negara terdiri daripada Esther, Syaidatul Afifah dan Siti Safiyah Amirah merangkul emas pertama mereka untuk Malaysia dalam Sukan Asia dengan mengakhiri kemarau 24 tahun  dalam  acara  itu di venue yang sama pada hari pertama pertandingan.

Pada Khamis, trio lelaki Malaysia – Rafiq Ismail, Timmy Tan Chye Chern dan Ahmad Muaz Mohd Fishol, memperoleh perak. - Bernama

Boling

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain