suria

'Poket Rocketman' raih gangsa acara keirin

Atlet berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang (kanan) bersama atlet Thailand, Jain Angsuthasawit (tengah) dan atlet Jepun, Yudai Nitta (kiri) pada majlis penyampaian pingat pada acara berbasikal 'Final Keirin' lelaki sempena Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Velodrome Antarabangsa Jakarta pada Jumaat. Foto: Bernama

JAKARTA: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang gagal menambah koleksi pingat emas apabila menduduki tempat ketiga dalam acara keirin pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta Jumaat.

Pada saingan hari ini, juara keirin dunia 2017 itu yang memenangi pingat emas dalam acara pecut semalam, gagal meneruskan kayuhan cemerlangnya untuk berada dalam kedudukan teratas podium, dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Mohd Azizulhasni yang meraih gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, mencatat masa 10.203 saat di belakang pemenang pingat emas, Jai Angsuthasawit dari Thailand (10.029s) dan pelumba Jepun, Yudai Nitta yang ketinggalan hanya  0.003s untuk meraih pingat perak.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Mohd Azizulhasni mengakui kecewa dengan pencapaian tersebut kerana percaya mampu mencatat keputusan lebih baik.

“Keputusan yang menyedihkan sebab saya yakin boleh dapat pingat emas dan persembahan saya juga berada di tahap terbaik. Daripada awal saya simpan tenaga dan tidak mahu menggunakan sepenuhnya sehingga ke final.

“Ia bertambah ralat apabila saya menamatkan perlumbaan final ini tanpa saya berasa penat. Saya tidak menggunakan seluruh tenaga. Saya tidak dapat nak melakukan pecutan terakhir sebab saya tidak mempunyai ruang dan jika saya tetap berbuat demikian, perlumbaan saya mungkin dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia - Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan acara itu di tempat ketujuh.- Bernama

Azizulhasni, Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Lain