suria

Chong Wei pulang ke tanah air dua minggu lagi - BAM

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan kembali ke Malaysia dalam masa dua minggu lagi dan akan beraksi semula selepas sebulan jika keadaan kesihatan mengizinkan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata rawatan masalah gangguan pernafasan yang dilakukan di Taiwan oleh Chong Wei itu dijangka akan selesai minggu depan.

“Dalam masa dua minggu dia akan balik Malaysia, lepas itu akan ambil sebulan cuti. Kalau okay akan balik berlatih seperti biasa, bergantung kepada nasihat doktor,” katanya selepas Mesyuarat Khas Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Raja badminton berusia 35 tahun itu menarik diri daripada kejohanan Dunia di Nanjing, China dan juga Sukan Asia di Indonesia ekoran masalah pernafasan yang dialaminya.

Sementara itu, presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei merupakan pemain yang konsisten, ketiadaan Chong Wei dalam skuad kebangsaan sedikit merudumkan prestasi sukan badminton negara.

Katanya, untuk memiliki pemain seperti Chong Wei, BAM memerlukan jangka masa yang panjang dan pemain perlu diasah dari peringkat akar umbi.

“Dari dulu BAM sudah bercakap apa pun perancangan kita, mesti merupakan perancangan pengganti Chong Wei. Dia selalu konsisten dalam mencapai kejayaan yang besar. Apa yang kita perlu buat hari ini adalah melihat secara keseluruhannya bagaimana nak bawa pemain kita ke tahap yang lebih tinggi.

“Bukan nak sampai tahap Chong Wei terus, kita kena buat secara berperingkat. Kita kena bina pemain yang bagus bermula dari awal bagi pastikan mereka ada pendedahan. Buat masa sekarang kena bergantung kepada pemain senior,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai jawatan Pengarah Kejurulatihan, BAM kini masih dalam proses menyenara ipendek calon bagi jawatan yang akan mengendalikan seluruh skuad badminton dari jurulatih hinggalah kepada pemain secara sepenuh masa.

Mohamad Norza berkata buat masa sekarang, BAM baru selesai menyedaikan terma dan syarat bagi memenuhi kehendak jawatan tersebut.

Antara calon yang berada dalam senarai pendek BAM bagi jawatan tersebut adalah legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky yang kini sedang berkhidmat selaku pengarah prestasi bersama skuad badminton Thailand.

Rexy pernah berkhidmat bersama skuad kebangsaan selama tujuh tahun berakhir 2012 dengan menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki.

“Memang benar Rexy berada dalam senarai pendek tetapi kami masih belum berhubung dengannya bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

BAM bagaimanapun enggan mendedahkan calon  lain yang turut disenarai pendek bagi jawatan itu kerana perkara itu perlu dibincangkan bersama Insitut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu. -Bernama

Chong Wei, Taiwan, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dr Wan Azizah penaung baharu BAM

Artikel Lain