KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuka pintu kepada pemain badminton persendirian untuk menyertai kejohanan Gred 2 Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata langkah ini akan memberikan pendedahan peringkat tinggi buat pemain badminton profesional, sebagai sebahagian daripada usaha BAM untuk meluaskan pencarian jaguh badminton negara akan datang. “Kami akan mengemukakan cadangan ini di mesyuarat majlis kami yang akan datang pada 20 Oktober depan untuk membenarkan mereka menyertai Jelajah Dunia BWF HSBC Gred 2. Bagaimanapun, pemain perlu memenuhi beberapa kriteria untul layak menyertainya, beliau memberitahu pemberita selepas melancarkan Liga Purple 2018/19 di sini hari ini. Mohamad Norza berkata ia adalah sebahagian daripada struktur BAM yang lebih efisien dengan mengurangkan bilangan pemain di bawah badan pentadbir badminton kebangsaan itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan. “Kejurulatihan dan Latihan (C and T) mengumumkan kami akan melabur dalam pemain muda , antara bawah 23 tahun dan menyimpan pemain berdasarkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI). “Kami mahu pemain yang mempunyai, keperibadian, keyakinan dan daya pemikiran yang akan membawa kami ke tahap yang kami inginkan. Bila kami membelanjakan RM1, pemain mesti membawa pulang lebih daripada RM1, bukannya 20 sen,” katanya. Bagaimanapun, Mohamad Norza berkata pemilihan pemain untuk acara Kejohanan BWF Gred 1 seperti Piala Thomas, Uber dan Sudirman selain daripada Kejohanan Dunia adalah di bawah bidang kuasa BAM. Kejohanan yang termasuk dalam Gred 2 adalah peringkat satu hingga lima Jelajah Dunia BWF HSBC Gred 2 yang menawarkan hadiah wang tunai antara US$150,000 hingga US$1.5 juta (antara RM621,270 hingga RM6.21 juta), termasuk All England dan Terbuka Malaysia. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong mengalu-alukan langkah yang diambil BAM dan berkata , kecekapan, ketelusan dalam pemilihan dan urus tadbir yang baik, terutamanya urus tadbir kewangan yang baik adalah jalan untuk pembangunan persatuan sukan kebangsaan di bawah kerajaan baharu. “Dalam satu hari biasa, kira-kira 600 pemain badminton dilatih di dalam pelbagai peringkat di seluruh negara di bawah pelbagai program. Kesemua ini adalah untuk mencari dan mencungkil jaguh baharu badminton negara pengganti (Datuk) Lee Chong Wei,” kata beliau. Sim berkata Liga Purple telah membantu pertumbuhan badminton Malaysia dengan mewujudkan kumpulan peminat yang lebih besar, sejak lima tahun ia diadakan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Purple, Datuk Jack Koh berkata musim kelima akan menyaksikan format yang hampir sama dengan edisi sebelumnya, terdiri daripada tiga peringkat dengan penglibatan lapan pasukan. “Kesemua pasukan akan bermain pusingan pertama dengan format round robin dengan dua pasukan teratas akan terus mara ke final (peringkat ketiga). Pasukan yang lain akan bermain di peringkat kedua juga dalam format round robin dengan pasukan di ranking ketiga hingga keenam akan mara ke final dalam format kalah mati,” katanya. Peringkat pertama dan kedua kejohanan akan bermula dari 20 Disember tahun ini sehingga 13 Jan 2019 di Gem in Mall, Cyberjaya sementara final berlangsung dari 24 hingga 27 Jan tahun hadapan di Arena of Stars, Resort World Genting dengan hadiah wang tunai RM1.5 juta ditawarkan. Koh juga mengesahkan 19 pasukan akan beraksi di dua bahagian musim keempat Liga Purple Remaja dari 13 Okt hingga 4 November tahun ini sementara penganjuran Liga Purple Korporat buat julung kalinya, disasarkan untuk dunia korporat.- Bernama