BINTANG Manchester United, Paul Pogba berkata dia tidak yakin boleh memenangi trofi Ballon d'Or 2018 meskipun tersenarai antara 30 pemain bagi merebut anugerah tersebut. Pemain berusia 25 tahun itu membantu Perancis menjuarai Piala Dunia dan menjaringkan satu gol pada aksi final menentang Croatia. Pogba antara salah seorang daripada enam pemain skuad Les Bleus yang tercalon bagi kategori tersebut termasuk Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Raphael Varane, N'Golo Kante dan Hugo Lloris. Namun Pogba percaya peluangnya untuk memenangi anugerah tersebut amat tipis. "Sama ada Griezou (Griezmann), Kylian (Mbappe) atau Raph (Varane), mereka lebih layak berbanding saya. Saya tidak boleh menetapkan seorang. Namun saya berharap sepenuh hati bahawa ini adalah salah satu daripada tiga calon. "NG (Kante) juga ada peluang. Itu harapan saya kerana ramai yang layak memenanginya. Namun saya tidak yakin boleh menang," kata Pogba. Majlis pengumuman pemenang anugerah Ballon d'Or 2018 akan diadakan di Paris pada 3 Disember depan.