suria

NAC gantung sementara Khabib, McGregor

SURUHANJAYA Atlet Nevada (NAC) menggantung Conor McGregor dan Khabib Nurmagomedov daripada sebarang aksi bermula 15 Oktober ini susulan pergaduhan mereka semasa saingan UFC 229, Ahad lalu.

Surat sudah dihantar kepada kedua-dua petinju itu pada Rabu untuk memaklumkan keputusan penggantungan sementara mereka.

Presiden NAC, Bob Bennett mengesahkan berita itu pada Khamis dan sesi pendengaran pada 24 Oktober akan menentukan jika McGregor dan Khabib bakal dikenakan tindakan susulan atau sebaliknya.

Tempoh penggantungan itu ditetapkan sekurang-kurangnya 10 hari.

McGregor dari Ireland mengangkat bendera putih di pusingan keempat, sekali gus menghadiahkan kejuaraan UFC lightweight kepada Khabib.

Tidak terhenti di situ, Khabib kemudian melompat keluar dari pagar gelanggang dengan sasaran menyerang rakan selatihan McGregor, Dillon Danis.

Presiden UFC, Dana White melalui rakaman video di laman web UFC berkata, gelaran yang dipegang oleh jaguh Russia itu tidak akan dilucutkan dan sebarang tindakan yang bakal diambil ekoran kekecohan itu hanya akan dilakukan oleh NAC.

Susulan daripada itu, Mcgregor berang dan menuntut untuk bertarung sekali lagi, namun UFC telah membuat keputusan untuk menggantungnya sehingga 6 November atas alasan perubatan.

Khabib bagaimanapun terlepas daripada penggantungan tersebut selepas dia lulus dalam ujian perubatan. - Metro.co.uk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain