suria

Skuad lelaki B-19 terbang ke Indonesia pikul tugas negara

Skuad Bawah 19 Tahun negara. Foto kredit: FAM

PETALING JAYA: Kehadiran Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat diharap dapat membantu memantapkan lagi skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara di Indonesia.

Kedua-dua pemain itu menyertai skuad Bojan Hodak selepas bermain untuk skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan bertemu Republik Kyrgyz pada Selasa.

Mereka kemudian berlepas ke Indonesia Rabu bagi menghadapi saingan Piala AFC B-19 yang akan membuka tirainya bermula 18 Oktober ini.

"Kita turun tanpa sebarang tekanan walaupun menyedari pasukan dalam kumpulan kita semuanya kuat.

"Tetapi berdasarkan persiapan dan komitmen semua pemain ini, kita mengharapkan keputusan yang positif.

"Yang penting kita bermain dan memberikan yang terbaik," ujar penolong jurulatih Hairuddin Omar kepada mStar Online.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin turut memberi kata-kata semangat kepada skuad sebelum berlepas ke Jakarta.

"Saya yakin skuad kebangsan B-19 ini akan melakukan yang terbaik demi Malaysia.

"Dengan itu, saya mengingatkan skuad untuk kekal fokus dan berbekalkan semangat yang tinggi kita mampu berjaya," katanya.

Skuad kebangsaan berpengkalan di Bekasi akan memulakan saingan dalam Kumpulan D menentang Arab Saudi di Stadium Patriot Candrabaga pada Sabtu ini sebelum berdepan Tajikistan pada 23 Oktober dan China 26 Oktober.

Pasukan yang layak ke separuh akhir akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia B-20 di Poland, tahun depan.

Selain itu, skuad B-19 wanita juga turut berangkat ke Hanoi, Vietnam bagi saingan Pusingan Kelayakan Kejuaraan Wanita B-19 AFC 2019.

Pasukan kendalian Jacob Joseph itu diundi berada dalam Kumpulan E bersama Vietnam, Jordan dan Singapura.

Piala AFC B-19

Artikel Lain