PETALING JAYA: Berstatus pemain bintang, Safawi Rasid tidak leka dibuai mimpi indah dan sedar kerjayanya dalam bola sepak tidak akan selalu di atas. Justeru pemain prolifik muda Johor Darul Darul Ta'zim (JDT) itu berfikir panjang dan mengambil langkah bijak bagi memastikan kehidupannya selesa pada masa depan. Dengan hasil titik peluhnya selaku penyerang bukan sahaja di kelab, malah dalam skuad kebangsaan, Safawi mula mengumpul asetnya sendiri. Terbaharu pemain berusia 21 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu bersyukur kerana mampu membeli sebuah rumah banglo untuk dirinya. "Buat masa sekarang rumah itu akan diduduki oleh mak ayahnya di kampung. Ia sebagai aset masa depan. "Sebenarnya, sebelum ini saya sudah ubah suai rumah keluarga supaya mereka lebih selesa. Sekarang ada rezeki lebih lagi, jadi belilah satu rumah untuk saya," ujarnya kepada mStar Online. Sebelum itu, Safawi memuat naik video sekitar rumah banglo empat bilik di Insta Story yang mana bapanya turut kelihatan dalam video tersebut. Jelas Safawi, dia mengambil langkah awal kerana dia sendiri tidak dapat menentukan jangka hayat kariernya sebagai pemain bola sepak. "Sekurang-kurangnya selepas itu, kita sudah ada apa yang kita nak. Memang betul, duit kalau tidak pandai urus, ia akan hilang begitu sahaja. "Mungkin selepas ini, saya merancang untuk membeli rumah di Johor Bahru, tempat saya mencari rezeki atau di Kuala Lumpur," tambahnya. Dalam pada itu, Safawi yang sentiasa tercalit dengan gosip panas apabila dikaitkan dengan artis wanita terus mahu komited mempamerkan aksi cemerlang dalam liga tempatan mahupun di peringkat antarabangsa. "Kalau boleh mahu tingkatkan lagi prestasi dengan bantuan pemain senior, import serta jurulatih yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya dan pemain muda lain. "InsyaAllah, esok (Sabtu) pada perlawanan kedua separuh akhir kedua bertemu Terengganu, saya akan cuba menjaringkan gol jika ada peluang," katanya.