PASUKAN Paris Saint-German (PSG) nampaknya 'kekenyangan' apabila berjaya mencatat lima gol dalam perlawanan menentang Amies baru-baru ini. Malah, ia mengukuhkan kedudukan mereka dalam Liga 1 sekaligus menandakan kemenangan berterusan ke 10 mereka dalam musim ini. Paling menyerlah tentunya pemain muda, Kylian Mbappe yang berjaya menjaringkan 11 gol menerusi sembilan penampilan sahaja. Menerusi 10 perlawanan sahaja, PSG mencatat 37 gol yang mana ia tidak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam sejarah bola sepak Perancis. Biarpun beraksi tanpa nama besar seperti Neymar, Thiago Silva dan Thomas Meunier yang direhatkan buat sementara waktu, ia ternyata tidak menghalang kemaraan PSG. Sementara itu, Mbappe berkata, dia masih tidak berpuas hati dengan pencapaiannya dan masih banyak yang perlu dilakukannya. "Saya masih ada banyak perkara untuk dilakukan. Saya mahu capai segalanya. "Dengan Perancis, saya masih ada Kejuaraan Eropah yang saya memang nak menang. Begitu juga dengan PSG," ujar pemain berusia 19 tahun itu. Malah, Mbappe juga turut disebut-sebut sebagai pemain yang berpotensi untuk merebut anugerah Ballon d'Or pada tahun in.- ESPN/BBC.