PETALING JAYA: Malaysia melonjak dua anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-169 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Khamis. Skuad Harimau Malaya yang kekal di posisi ke-171 dunia bulan lalu, mengumpul sejumlah 974 mata untuk berada di belakang Vietnam (102), Filipina (116), Thailand (121), Myanmar (141) dan Singapura (165). Ranking bulan ini menyaksikan skuad negara, kendalian Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-35 Asia. Sementara itu, Belgium mengungguli kedudukan teratas selepas mengumpul 1733 mata manakala juara dunia, Perancis di tempat kedua dengan 1732 mata. Brazil pula berjaya memintas Croatia untuk menduduki tangga ketiga dengan 1669 mata. Croatia turun ke tangga keempat, ketinggalan 34 mata kepada Brazil. England turut naik satu anak tangga untuk menduduki tangga kelima manakala Uruguay jatuh ke tangga keenam. Portugal (7), Switzerland (8), Sepanyol (9) dan Denmark (10) mengekalkan kedudukan masing-masing. Senarai 10 pasukan teratas: 1. Belgium 2. Perancis 3. Brazil 4. Croatia 5. England 6. Uruguay 7. Portugal 8. Switzerland 9. Sepanyol 10. Denmark