MESKIPUN telah berakhir perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Perak menentang Terengganu FC di Stadium Shah Alam malam Sabtu hingga membawa kemenangan kepada Perak, namun mutu pengadilan yang lemah masih menjadi bualan netizen di media sosial. Nama pengadil Suresh Jayaraman yang beraksi pada perlawanan itu mula diperkatakan di media sosial hingga netizen berusaha mencari latar belakangnya di Facebook dan Twitter. Manakan tidak, layangan dua kad merah pada aksi perlawanan sememangnya satu perkara yang jarang berlaku dan situasi itu mencetuskan persoalan terhadap mutu dan kualiti pengadil yang mengendalikan perlawanan akhir. Netizen juga mempersoalkan keputusan pengadil termasuk membiarkan pemain kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras tanpa mengenakan sebarang amaran atau melayangkan kad. Di Twitter Sid Razali telah memuatnaik status berkaitan Suresh dan memberitahu pengadil itu merupakan peminat Terengganu Football Club yang konon mengaitkan ketidakadilannya ketika mengendalikan perlawanan. Malah bebenang Twitter turut merungkai pengadil itu pernah mengadili satu perlawanan akhir piala menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membabitkan universiti pernah tergendala selama 10 minit hingga 15 minit. Bukan itu sahaja, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga membidas mutu pengadilan yang lemah dalam perlawanan akhir tersebut. Walaupun peminat pasukan dilihat kurang berpuashati dengan mutu pengadilan tetapi semangat kesukanan antara kedua-dua pasukan wajar dipuji kerana tiada sebarang aksi pergaduhan tercetus sepanjang perlawanan. - Sinar Harian