suria

F:30 realistik, sasar Malaysia jadi lima pasukan terbaik Asia

Shaikh Salman (kiri), Hamidin dan Infantino merasmikan pelan F:30 pada Rabu. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka lembaran baharu  untuk memastikan bola sepak tempatan diuruskan dengan lebih teratur di peringkat akar umbi.

Program Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang dikenali F:30 dilihat sebagai perencanaan tepat dalam mensasarkan pasukan Malaysia menjadi lima terbaik Asia menjelang 2030.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pelan ini dilahirkan kerana ia sangat realistik.

"Ia bukan sekadar pelan yang hanya untuk orang ramai mendengarnya tetapi merupakan sasaran dalam beberapa peringkat. Untuk tempoh empat tahun pertama kita mahu membina asas kukuh dari segi semua sudut.

"Kita tengok bajet, apa keperluan, suasana ekonomi dan sokongan daripada kerajaan. Roadmap ini bukan angan-angan kerana ia boleh dinilai dan ada sasaran yang ditetapkan," jelasnya ditemui selepas Majlis Pelancaran F:30 pada Rabu.

Peta Hala Tuju ini akan diguna dan dinilai dalam tempoh 12 tahun dibahagikan kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas kukuh dari sudut urus tadbir dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga (2027-2030) bertujuan untuk melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

Biarpun negara sudah memiliki satu pelan pembangunan akar umbi iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), namun FAM menganggap Roadmap ini berbeza dan simbol kesungguhan badan induk bola sepak negara ini dalam melaksanakan pelan pembangunan yang menyeluruh.

Jelas Stuart, F:30 ini tidak melibatkan PPBN yang ditubuhkan empat tahun lalu.

Stuart Ramalingam

"Kami belum menerima keputusan rasmi daripada kerajaan mengenai status FAM dalam PPBN. Jadi ia belum ditetapkan dalam Roadmap ini."Tetapi apa yang boleh saya katakan Roadmap ini sangat mudah diterima. PPBN ada atau tidak dan Roadmap ini kita belum tahu lagi.

"Kita tunggu keputusan kerajaan umumkan sama ada FAM berada dalam PPBN atau tidak," jelasnya ringkas.

Dalam pada itu, Stuart juga memberitahu Roadmap ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan skuad lelaki, sebaliknya pasukan akar umbi wanita turut diberi perhatian.

"AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) meminta kami untuk melabur wang untuk program pembangunan wanita.

"Malah kita sendiri ada exco bola sepak wanita yang agresif dalam memastikan program untuk skuad wanita selari dengan pasukan lelaki," ujarnya.

Selain itu Presiden FAM, menyifatkan F:30 adalah realistik mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.

"Teras kepada peta hala tuju ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan, pengenalan DNA bola sepak menerusi kurikulum yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.

"Dalam pelan ini, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan," katanya.

Pelancaran F:30 ini turut disaksikan oleh Presiden Fifa, Gianni Infantino, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, Ahli Majlis Fifa Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John dan Setiausaha Agung Fifa Fatma Samoura.


F:30, FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain