JURGEN Klopp mempertahankan keputusan kontroversi mengetepikan Xherdan Shaqiri daripada skuad menjelang perlawanan Liga Juara-Juara yang berlangsung di Serbia. Jelas Klopp, keputusan yang dibuat itu demi keselamatan pemain itu sendiri. Shaqiri yang dilahirkan di Kosovo dan ibu bapanya dari Albania menimbulkan kemarahan pasukan Serbia ketika aksi Piala Dunia Jun lalu ketika dia meraikan jaringan gol Switzerland dengan menunjukkan simbol 'kepala helang berkembar'. Isyarat itu bertentangan dan merupakan provokasi kepada Serbia. Malah pemain itu telah didenda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bersama pemain Arsenal Granit Xhaka yang menjaringkan gol pada perlawanan tersebut kerana membuat kenyataan berunsur politik. Pengurus The Reds itu terpaksa meningalkan Shaqiri di Merseyside kerana tidak mahu timbul cerita yang bukan berkaitan dengan bola sepak. "Kami tidak mengambil perhatian kepada mana-mana isu keselamatan atau sebagainyua. Hanya satu perkara yang saya rasakan apabila membuat keputusan ini, tidak mengaitkan perkara lain. "Kami hanya datang untuk bermain bola. Jika kami datang ke sana dan terlibat, semua soalan akan tertumpu kepada dia. "Kami perlu fokus kepada perlawanan. itu sahaja yang kami mahu dan sebab itulah saya buat keputusan ini," ujarnya. Liverpool bakal berdepan dengan Red Star Belgrade bagi saingan Kumpulan C.