PETALING JAYA: Anugerah Sukan Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 terpalit kontroversi apabila trofi untuk anugerah Kasut Emas hanya bersaiz sebesar tapak tangan. Berbanding sebelum ini, selain trofi utama diberi kepada pemenang, hadiah Kasut Emas antara yang menjadi tumpuan dengan pemenang itu sendiri akan berasa bangga menjulangnya. Tetapi, situasi sebaliknya berlaku tahun ini! Kontroversi saiz trofi Kasut Emas itu terus menjadi bualan peminat bola sepak tempatan yang dianggap sebagai 'mempermainkan' kewibawaan pemain-pemain bola sepak tempatan. Pemain Kelantan Shafiq Shahrudin menerima anugerah tersebut bagi kategori penjaring terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan), manakala Rufino Segovia (Selangor) untuk Pemain Import. Berikutan itu, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan sesiapa yang bertanggungjawab dalam menyediakan trofi itu meletak jawatan serta-merta. "Saya telah dimaklumkan mengenai isu kualiti trofi pada ABK2018. Bagi saya, kualiti memang tidak boleh diterima dan saya jangka sesiapa sahaja yang terlibat perlu bertanggungjawab meletak jawatan serta merta. "Hanya 13 jam berada di luar negara dan huru-hara berlaku. MFL, selesaikan masalah ini dan beri anugerah (trofi) yang lebih berkualiti," ujar Tunku Ismail menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya. Dalam satu lagi perkongsian, Tunku Ismail memberitahu: "Ini bukan Kasut Emas. Ini kasut Cinderella miniature version.. Haha.. Sorry, I can't get over it. MFL, lucky you guys acted on it. If not I was about to give you the people's elbow... Step Up!." Pemain Kelantan, Shafiq Shaharudin menerima Kasut Emas bagi Pemain Tempatan. Sementara itu, MFL menerusi kenyataan di Facebook rasminya turut meluahkan rasa kecewa dengan trofi yang dipersembahkan itu. "MFL sangat kecewa dengan trofi yang telah dipersembahkan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 yang lepas. "Trofi berkenaan tidak memenuhi standard seperti apa yang diharapkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Pengerusi MFL dan ianya juga tidak layak diberikan kepada pemenang yang telah memberikan yang terbaik sepanjang musim ini," jelas kenyataan tersebut. Tambahnya lagi, MFL telah mengenal pasti kakitangan yang telah membuat kesilapan dalam pesanan untuk membuat trofi tersebut dan beliau cuba untuk menutup perkara tersebut tanpa sebarang maklumat yang diberitahu kepada pihak pengurusan MFL. "Seperti dilihat dari gambar-gambar yang dilampirkan, MFL sentiasa memberikan trofi yang sesuai dan mengikut standard yang perlu. "MFL juga telah mengambil inisiatif untuk menghubungi semua pemenang bahawa MFL akan menggantikan trofi ini dengan yang lebih sesuai dengan pencapaian mereka. "MFL sentiasa berusaha untuk menjadikan ABK ini lebih besar dan megah setiap tahun. Kejayaan ini telah dicapai sehingga kejadian yang sangat menghampakan ini berlaku. "Jadi sudah pasti pihak MFL tidak berniat untuk memberikan sebuah trofi yang tidak sesuai kepada semua pemenang, dan tindakan sudah diambil ke atas mereka yang terlibat dalam kejadian yang menghampakan ini." MFL juga memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia diatas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL. "Pengerusi kami yang sangat menekankan standard dan kualiti dalam semua aspek. MFL akan lebih baik pada masa hadapan."