suria

Undian tunjukkan Mat Don masih relevan, penyokong Kedah harap KFA buat 'U-turn'

Foto kredit: Instagram Liridon Krasniqi

PETALING JAYA:  Keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk tidak menyambung kontrak pemain import Liridon Kranisqi telah dibuat, namun penyokong-penyokong setia Hijau Kuning mengharapkan berlakunya pusingan-U.

Salah sebuah kelab penyokong fanatik Kedah Red Eagle Crew (REC) mengambil inisiatif agar KFA menilai kembali keputusan yang dibuatnya itu supaya Liridon,26, atau lebih popular dengan panggilan 'Mat Don' terus bersama skuad Lang Merah musim depan.

Kontrak Mat Don yang tamat musim ini diputuskan tidak disambung selepas empat tahun berkelana di Alor Setar.

Mengambil kira sumbangan dan prestasi pemain tengah itu bersama Kedah, Presiden REC Mohd Shafik Saroni telah mengadakan satu undian sama ada mahu mengekalkan Mat Don atau tidak.

Kelab Penyokong Red Eagle Crew

"Red Eagle Crew ini ditubuhkan pada tahun 2015 semasa kehadiran Mat Don ke dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Ketika kehadirannya, Kedah masih berada di Liga Perdana. Amat jelas kehadirannya telah menukar corak permainan dan dia mampu menerima baik taktikal jurulatih Tan Cheng Hoe ketika itu.

"Undian ini dibuat kerana kesetiaan kami di Red Eagle Crew dan penyokong Kedah sendiri dalam memberi sokongan kepada Mat Don.

"Kami ingin melihat adakah Mat Don masih relevan untuk Kedah pada musim 2019. Ternyata rata-rata penyokong masih mahukan Mat Don bersama Negeri Jelapang Padi ini," jelasnya kepada mStar Online.

Jelas Shafik, undian yang dipamerkan di laman Facebook rasmi REC telah mendapat sambutan yang positif.

Mat Don memuatnaik status keputusan undian di Instastorynya.

"Ini terbukti ketika pengakhiran undian tersebut kami mendapat  keputusan 88 peratus penyokong masih sayangkan Mat Don.

"Banyak faktor yang membuatkan Mat Don disayangi penyokong-penyokong Kedah. Sifatnya yang mudah ramah dengan penyokong serta banyak melakukan kerja-kerja kebajikan melibatkan komuniti bola sepak muda.

"Undian ini hanya dibuat untuk menunjukkan kepada pengurusan KFA yang Mat Don masih lagi disayangi oleh penyokong Kedah. Umurnya masih muda dan dia mempunyai kualiti permainan yang sangat baik.

"Kami berharap agar dia akan dikekalkan lagi bersama skuad Kedah.

"Tetapi dalam masa yang sama kami tetap menerima segala keputusan daripada Ketua Jurulatih Aidil Shahrin dan presiden KFA dengan tangan terbuka," jelasnya.

Sebagai rekod, sepanjang bersama Lang Merah Mat Don berjaya merakam 38 gol, 52 pembantu gol dalam 105 perlawanan.

Pemain kelahiran Kosovo itu juga pernah menjulang trofi Pemain Terbaik Liga Super Edisi Mei 2018 serta Pemain Import Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017.

Mat Don, Kedah FA, REC

Artikel Lain