EDEN Hazard tiada rancangan untuk meninggalkan Chelsea pada Januari tetapi mengakui akan mempertimbangkan masa depannya pada hujung musim ini. Pemain kebangsaan Belgium itu secara terbuka menyuarakan minat untuk menyertai Real Madrid pada musim panas lalu tetapi dipujuk oleh Maurizio Sarri dan lembaga pengurusan Chelsea untuk kekal di Stamford Bridge. Pemain berusia 27 tahun itu masih belum menandatangani kontrak baharu bersama Chelsea. Susulan itu dia mempunyai baki kontrak selama setahun pada hujung musim ini jika dia enggan bersetuju untuk memperbaharui kontraknya. Hazard menegaskan dia akan mengkaji semula mengenai masa depannya selepas kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berakhir. "Saya hanya fikir mengenai Chelsea ketika ini. Kejohanan hanya akan berakhir dalam tujuh atau lapan bulan lagi. "Kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku," katanya. Namun Hazard memuji corak permainan yang diterapkan Sarri ketika ini. "Sarri mempunyai falsafah bola sepak sama seperti saya. Dia sentiasa fikir mengenai bola bagaimana pemain seperti kami fikir mengenai bola sepak. "Saya amat gembira, kami bermain bola sepak dengan bagus," katanya.