suria

Valencia terbuka sertai seteru United

Antonio Valencia.

ANTONIO Valencia tetap mahu kekal beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris meskipun jika kontrak baharunya bersama Manchester United gagal mencapai kata sepakat.

Kontrak pemain berusia 33 tahun itu akan tamat pada hujung musim ini dan United masih berteka-teki sama ada mahu melanjutkan kontraknya.

Jika Valencia tidak bersetuju dengan tawaran baharu itu, dia bebas menyertai mana-mana pasukan pada musim panas akan datang.

Metro.co.uk difahamkan bahawa bintang Ecuador itu mahu kekal di England walaupun bukan lagi pemain di Old Trafford.

Valencia menjadi pemain pilihan utama Jose Mourinho sejak dua musim lalu tetapi hanya melakukan lima penampilan musim ini.

Lebih mengecewakan, dia tidak memperkuat United sejak 2 Oktober lalu.

Mourinho secara terbuka mengkritik Valencia pada musim panas lalu dengan mendakwa dia tidak berada pada prestasi sebenar ketika kembali menjalani latihan pra musim.

Malah pada bulan lalu, Mourinho mempersendakan posting Valencia di Instagram yang menunjukkan dia sedang berlatih di gimnasium.

"Saya melihat sesuatu yang kelakar di Instagramnya di mana dia berkata berlatih di gimnasium.

"Dia patut kata berlatih sendiri kerana saya cedera dan tidak boleh berlatih bersama rakan pasukan.

"Jadi sebab dia berada di gimnasium adalah kerana dia cedera dan dia tidak boleh berlatih bersama rakan yang lain.

"Jadi saya fikir dia kelihatan seperti berlatih bersungguh-sungguh. Tapi tanpa bola dan pasukan, jadi anda boleh bayangkan dia tidak diturunkan kerana dia belum bersedia," kata Mourinho.

Bagaimanapun Valencia pada minggu ini menegaskan dia tidak cedera dan disisihkan pasukan kerana Mourinho.

"Hubungan dengan Mourinho sentiasa baik. Buat masa ini saya belum diturunkan tetapi ia lebih kepada keputusan taktikal.

"Pemain yang beraksi di posisi saya (Ashley Young) mempamerkan prestasi cemerlang. Jadi anda perlu menghormati keputusan itu," katanya. - Metro.co.uk

Artikel Lain