ADEMOLA Lookman diberi jaminan bersama pasukan England selepas berbincang bersama Ketua Jurulatih Bawah 21 Tahun Aidy Boothroyd. Pemain sayap Everton itu antara bintang muda yang berada dalam skuad B-20 yang menjuarai Piala Dunia tahun lalu. Lookman antara pemain utama yang disenaraikan dalam skuad B-21 bagi aksi musim depan di Itali. Bagaimanapun prestasi cemerlangnya itu telah menarik minat pasukan Nigeria yang dibimbing Gernot Rohr yang kini dalam persiapan menghadapi Piala Negara-Negara Afrika tahun depan. Tiga minggu lalu, Rohr memberitahu dia mahu 'menukar pemikiran pemain itu supaya dapat beraksi dengan pasukan kami'. Berikutan dengan itu Persatuan Bola Sepak England (FA) telah berbincang dengan Lookman,21, di St George Park minggu lalu dan telah diberi jaminan berada dalam skuad negara ini. "Setiap kali bertemu dengannya, saya akan mengusik mengenai perkara ini. Saya bertanya 'Kenapa kamu mahu meninggalkan kami?'. "Tetapi dia sangat fokus kepada England - itulah yang dia beritahu pada saya. Dia mahu bermain bola sepak antarabangsa untuk England," ujar Boothroyd.