KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan komitmen tinggi daripada 10 pemain baharu yang mengikat kontrak bersama pasukan berkenaan pada Khamis lepas, dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2019. Beliau berkata mereka perlu menunjukkan keupayaan sebenar dan membantu 15 pemain yang kekal bersama pasukan itu bagi menyempurnakan misi besar skuad TFC musim depan. Naib juara Piala Malaysia 2018 itu menyasarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC 2020 selain meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan dalam saingan Liga-M musim hadapan. “Kepada pemain baharu, saya ucapkan selamat datang, dari mana pun kamu berasal atau dari kelab apa pun sebelum ini, mesti ingat tugas anda bersama TFC.. ibarat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya kepada pemberita pada Sabtu. Sepuluh muka baharu bagi memperkuatkan TFC, termasuk bekas pemain tengah Felda United, Shamim Yahaya dan Khairu Azrin Khazali, serta tiga bekas pemain Negeri Sembilan, penjaga gol Ilham Amirullah Razali, pertahanan Khairul Anwar Shahruddin dan penyerang Khairul Izuan Rosli. Tonggak import musim ini, penyerang Kipre Tchetche, pemain tengah Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin serta pertahanan Igor Zonjic antara pemain dikekalkan musim depan.Dalam pada itu, Irfan Bakti optimis dengan keupayaan barisan pemain baharu berkenaan meskipun tiada antara mereka pemain bertaraf bintang. “Kita ada calon pemain terbaik yang boleh kita ambil dari Kedah (misalnya), tetapi memandangkan faktor umur dan yuran perpindahan pemain itu terlalu tinggi, kita terpaksa tolak walaupun dia ada ‘nama'. “Namun, saya yakin kita ambil mereka ini berdasarkan kebolehan mereka macam Faiz (Mohd Faiz Mohd Nasir), dulu semasa dia bersama Kelantan, ada orang kenal dia...tiada. “Tetapi nama dia jadi sebutan semasa dengan TFC bola sepak ini permainan berkumpulan. InsyaAllah kita boleh tingkatkan prestasi mereka ini untuk misi musim depan,” katanya.-Bernama