suria

Sabah dinobat juara Ragbi Piala Agong 2018

Pasukan Sabah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan Kelantan dengan mata 47- 45. - Bernama

KUALA LUMPUR: Juara empat kali, Sabah muncul juara Ragbi Piala Agong 2018 selepas menewaskan Kelantan 47-45 dalam perlawanan pentas akhir yang sengit, berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini pada Ahad.

Sabah yang dibimbing bekas pemain berpengalaman dari New Zealand, Brad Mika tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal 30 saat perlawanan bermula apabila Mohamad Safwan Abdullah berjaya melakukan trai dan Muhamad Amirul Aqil Kamsol melengkapkan conversion untuk mendahului 7-0.

Tersentak dengan itu, Kelantan yang dibarisi beberapa pemain skuad ragbi tujuh sepasukan (7's) negara termasuk kapten kebangsaan, Mohd Syahir Asraf Rosli mula memperkemas permainan dan hasilnya mereka pula berjaya mendahului hasil sepakan penalti Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi pada minit ke-12, seterusnya trai Muhammad Ikwan Akmal Zulkipli dan conversion Azwan menjadikan Kelantan mendahului 10-7.

Sabah kemudian berjaya memperoleh dua sepakan penalti yang disempurnakan oleh Charles Luke pada minit ke-29 dan ke-35 serta satu trai oleh Helbarth Jemlit dan conversion yang disempurnakan oleh Luke untuk mendahului 20 -10.

Namun, sebelum menuju bilik persalinan pada separuh masa pertama, Kelantan sekali lagi di depan  hasil dua trai oleh Zulkiflee Azmi pada minit ke-31 dan conversion Azwan serta Wan Azley Wan Omar pada minit ke-36 dan sekali lagi conversion Azwan menjadikan kedudukan 20-24.

Bermula babak kedua, Sabah tampil dengan aksi yang lebih meyakinkan apabila menguasai hampir keseluruhan perlawanan yang menyaksikan mereka menyumpurnakan dua sepakan penalti serta trai Serupepeli Naqasima dan Muhammad Safwan untuk Sabah pada minit ke-60 dan ke-70 disusuli conversion Amirul untuk meletakkan Sabah mendahului 40-24.

Sabah menggandakan asakan dan akhirnya menambah satu lagi trai menerusi Naqasima pada minit ke-70 dan conversion Amirul menjadikan Sabah kembali memimpin perlawanan dengan mata 47-24.

Kelantan cuba bangkit dengan berjaya melakukan  tiga trai menerusi Mohamad Khairul Abdillah (minit ke-45), Muhammad Zulhisyam Rasli (minit ke-74) dan Mohd Syahir Asyraf (minit ke-80) dan tiga conversion yang disempurnakan pemain Kelantan untuk menjadikan kedudukan 47-45 dan keputusan itu kekal sehingga wiset penamat ditiup.

Sebagai juara, Sabah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, medal berserta trofi manakala naib juara, Kelantan pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan medal.Kejuaraan ini adalah yang kelima diraih Sabah di mana kali terakhir mereka menjulang  Piala  Agong  adalah  pada 2015. - Bernama

Ragbi Piala Agong 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain