suria

ONE Championship: 4 wakil negara sedia gegar 'kandang' sendiri

Jihin bakal beraksi dalam kategori Atomweight. Foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

PETALING JAYA: Pertembungan Yodsanklai Iwe Fairtex dan Luis Regis dijangka menjadi tumpuan pada pertandingan ONE Championship: Destiny of Champions yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada 7 Disember ini.

Iwe Fairtex yang merupakan juara dunia beberapa kali Muay Thai merupakan peserta popular dalam kalangan peminat sukan seni mempertahankan diri campuran di dunia.

Bintang Thailand itu bakal melayan lawannya Regis dari Australia yang bukan sahaja atlet Muay Thai prolifik tetapi merupakan seorang jurulatih.

Mereka bakal beraksi dalam kategori Super Series Muay Thai Featherweight.

Sementara itu, beraksi di gelanggang dan di hadapan penyokong sendiri bakal memberi semangat kepada empat 'pejuang' Malaysia yang turut bersaing dalam kategori masing-masing.

Peserta negara, Agilan Thani atau lebih dikenali sebagai 'Alligator' sudah tidak asing lagi di kalangan penyokong tempatan dan telah mencatat nama dalam kategori Welterweight.

Agilan bakal bertemu dengan wakil Kyrgzstan, Kiamrian Abbasov.

Yodsanklai Iwe Fairtex

Bagi kategori Flyweight, Gianni Subba akan menentang peserta China, Ma Hao Bin.

Manakala bagi kategori Super Series Muay Thai-Bantamweight, Malaysia diwakili peserta muda yang baharu bergelar profesional, Mohammed Mahmoud atau dikenali Jordan Boy.

Pemuda berusia 22 tahun itu mengakui tidak gentar untuk bertemu lawan dari Greece, Stergos Mikkios walaupun  pertama kali menjejak ke gelanggang profesional ONE Championship.

Lebih menarik, ONE Championship tahun ini sekali lagi menampilkan wakil tunggal wanita negara, Jihin Radzuan.

Jihin atau digelar 'Shadow Cat' berdepan dengan peserta Taiwan Jenny Huang yang terkenal dalam acara Atomweight.

"Saya sangat teruja. Namun ia bukan mudah buat saya. ONE Championship selalu memberi ujian bertemu lawan yang lebih hebat, dan saya suka.

"Saya banyak menghabiskan masa menonton pertarungannya sebelum ini dan cuba memahami kekuatan dan kelemahannya," ujar Jihin.

ONE Championship

Artikel Lain