suria

Separuh akhir Piala AFF: Thailand kebal halang Harimau Malaya, masih ada baki 90 minit

KUALA LUMPUR: Pasukan Thailand kebal dalam menghalang skuad Tan Cheng Hoe menjaringkan gol pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Pasukan Malaysia menguasai permainan sejak babak pertama, namun tuah tidak mengiringi pemain-pemain negara apabila beberapa percubaan gagal melepasi gawang lawan.

Menurut Cheng Hoe, permainan yang seimbang dan pemain negara berjaya membawa bola ke depan gol lawan, namun gagal menjaringkannya.

"Kami tetap yakin dengan perlawanan di Bangkok nanti, namun ia bukan mudah bermain di Stadium Rajamangala nanti. Harap pemain dapat mempelajari perlawanan ini dan 'improve' di tempat lawan kelak.

"Terima kasih juga kepada Ultra Malaya dan semua penyokong yang terus menyokong sehingga tamat perlawanan," ujarnya rigkas selepas perlawanan.

Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap skuad negara terus berjuang pada aksi kedua nanti.

"Tidak dilupakan juga buat seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menonton menerusi siaran langsung di televisyen dan sentiasa mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2018 ini.

"Buat ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, para pemain skuad Harimau Malaya serta barisan kejurulatihan dan pegawai, teruskan berjuang bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok pada Rabu ini meskipun kita mencatat keputusan seri 0-0 dan gagal meraih kemenangan pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang sendiri ini.

"Kita perlu kekal positif dan jangan terlalu kecewa, peluang masih terbuka. Kita harus terus fokus kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk kita berjuang dalam memastikan Malaysia dapat melangkah ke pentas final pada 11 dan 15 Disember depan.

"Tiada yang mustahil dalam bola sepak," ujarnya dalam satu kenyataan selepas perlawanan.

Skuad Malaysia akan terbang ke Bangkok bagi perlawanan separuh akhir kedua 5 Disember ini.

Piala AFF, separuh akhir

Artikel Lain